NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

2022 menuju 'tahun paling berdarah' rakyat Palestin di Tebing Barat - PBB

(Gambar fail) Perwakilan Palestin ke PBB, Riyad Mansour. - FOTO AFP

NEW YORK: Perwakilan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Asia Barat, Tor Wennesland, berkata 2022 dilihat menuju ke arah menjadi tahun 'paling berdarah' bagi rakyat Palestin di Tebing Barat sejak badan antarabangsa itu mula merekod angka korban pada 2005.

Justeru, beliau ketika menekankan perkara itu kepada Majlis Keselamatan PBB, menggesa supaya tindakan segera diambil untuk meredakan 'situasi membara boleh meledak', serta menggerakkan langkah memperbaharui rundingan Palestin-Israel.

"Perasaan putus harapan dan marah serta ketegangan yang semakin mencengkam, sekali lagi meletus dalam kitaran keganasan maut sehingga kian sukar dibendung. Terlalu ramai orang, kebanyakannya rakyat Palestin, sudah terbunuh dan cedera," katanya.

Dalam satu hasil penilaian yang 'mengerikan', Penyelaras Khas untuk Proses Keamanan Asia Barat bawah PBB itu berkata, krisis semakin buruk di Tebing Barat dan keadaan semasa tidak menentu itu berpunca daripada keganasan berdekad-dekad yang memberi kesan mendalam terhadap rakyat Palestin serta Israel, selain berterusan ketiadaan rundingan, dan kegagalan menyelesaikan isu utama yang menyemarakkan konflik Palestin-Israel.

Wennesland menegaskan, mesej beliau kepada pegawai dan kumpulan Palestin, pegawai Israel serta masyarakat antarabangsa sepanjang tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, adalah jelas.

Mesej itu ialah: "Keutamaan segera adalah berusaha menenangkan keadaan dan menterbalikkan trend negatif di lapangan. Namun, matlamatnya mestilah untuk memperkasa dan mengukuhkan Pihak Berkuasa Palestin serta membina ke arah mengembalikan proses politik," katanya.

Perwakilan PBB itu mendedahkan, seramai 32 rakyat Palestin termasuk enam kanak-kanak, dibunuh pasukan keselamatan Israel, manakala 311 cedera ketika tunjuk perasaan, pertempuran, operasi memburu dan menahan, serta dakwaan serangan menentang rejim Zionis pada bulan lalu.

Sepanjang tempoh sama, katanya, dua pegawai pasukan rejim Zionis pula dilaporkan maut dan 25 orang awam Israel cedera ketika serangan, pertempuran, tindakan melempar batu dan bom petrol, serta insiden lain oleh rakyat Palestin.

Wennesland berkata, tempoh itu sekali gus mencatat 'lonjakan keganasan maut' yang dilihat memacu 2022 ke arah menjadi 'tahun paling berdarah' di Tebing Barat.

Lebih 125 rakyat Palestin terkorban dalam pertempuran Palestin-Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, tahun ini hingga kini. Tentera rejim Zionis mendakwa kebanyakan yang maut merupakan pejuang Palestin, namun belia yang sekadar melempar batu untuk membantah pencerobohan Israel serta mereka yang tidak terbabit dalam konfrontasi turut dibunuh.

Israel menjajah Tebing Barat pada 1967 dan sudah membina lebih 130 kawasan penempatan di situ yang meliputi bandar kecil, pangsapuri, pusat beli-belah serta zon perindustrian. Kebanyakan negara di dunia menyifatkan pembinaan penempatan terbabit sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

Perwakilan Palestin ke PBB, Riyad Mansour dalam ucapan penuh perasaan kepada Majlis Keselamatan PBB, semalam, berkata: "Rakyat kami, anak-anak kami dan belia kami dibunuh. Kematian mereka tidak akan hanya sia-sia. Apa berlaku seterusnya adalah tanggungjawab anda. Kami telah mengetuk setiap pintu untuk mencari sebarang jalan menuju ke arah kebebasan dan maruah, keadilan dan penyelesaian, keselamatan serta keamanan dikongsikan."

Namun selepas 75 tahun Britain melakukan pembahagian, beliau menegaskan rakyat Palestin masih 'menunggu giliran mereka untuk bebas', dan mendakwa Israel 'sedang berusaha untuk memusnahkan Palestin.' 

"Sama ada kita hidup sebelah-menyebelah, atau saya khuatir yang kita berkemungkinan akan mati sebelah-menyebelah (merujuk kepada Israel). Bantu kami (Palestin) untuk hidup... Rakyat kami tidak akan 'hilang', mereka tidak akan mengkhianati identiti nasional sendiri, mereka tidak akan menerima penaklukan. Rakyat Palestin akan bebas," katanya.

Sementara itu Perwakilan Israel ke PBB, Gilad Erdan ketika bercakap kepada Majlis Keselamatan pula menyanggah kenyataan Mansour dengan mendakwa Israel sedang berdepan gelombang keganasan. - AP



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo