NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sindiket penipuan guna taktik baru 'sedut' duit mangsa

KUALA LUMPUR: Modus operandi baharu dikesan digunakan kumpulan penipu untuk 'menyedut' wang mangsa hingga mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit dilaporkan setakat ini.

Kaedah terbaharu dengan memuat turun aplikasi menerusi fail Kit Pakej Android (APK), dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) selepas menahan lima individu berusia 17 hingga 21 tahun pada 24 Ogos lalu, dipercayai anggota sindiket penipuan berkenaan.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata penahanan kesemua suspek itu hasil siasatan polis selepas JSJK mengesan modus operandi penipuan baharu itu.

"Melalui operasi dan serbuan pada 24 Ogos lalu di ibu negara, polis berjaya menahan lima individu yang disyaki terbabit dengan penipuan sedemikian. Warganegara tempatan itu terdiri tiga lelaki dan dua wanita," katanya dalam kenyataan, hari ini.

"Mereka mencipta akaun palsu dan akan berkenalan dengan individu yang menjadi sasaran. Mangsa yang ingin berkenalan lebih rapat akan ditawarkan melihat gambar dan video mereka menerusi aplikasi lain yang akan dihantar melalui fail APK," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa juga diminta untuk membuat pembelian 'token' sebelum boleh mengakses aplikasi berkenaan dan aplikasi yang dimuat turun akan mengakibatkan berlaku transaksi pengeluaran wang daripada akaun mangsa.

Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan serta kaitan antara sindiket terbabit dengan lain-lain kes penipuan sama yang masih dalam siasatan.

Noorsiah meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan mengambil tindakan seperti tidak memuat turun fail APK dihantar individu tidak dikenali.

"Elak memasang aplikasi APK dari sumber yang tidak sah dan selain itu, perlu memastikan keselamatan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) sentiasa dipelihara.

"Ini kerana ia akan menerima One Time Password (OTP) daripada pelbagai aplikasi di telefon pintar anda. Elakkan 'install' (memasang) aplikasi SMS dari sumber yang mencurigakan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat dan nasihat lanjut, menghubungi CCID Scam Response Center ditalian 03-26101559 atau 03-26101599.

Sumber | BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo