NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pembangkang jangan hasut, kelirukan rakyat dalam isu perlombongan lantanid - MB Perak

Tegas Saarani, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa proses perlombongan lantanid itu tidak akan memberi kesan buruk kepada nyawa dan alam sekitar. - Gambar fail/BERNAMA

IPOH: Kerajaan Perak mengingatkan pihak parti pembangkang agar tidak menghasut dengan mengelirukan rakyat berhubung isu perlombongan nadir bumi lantanid di Gerik.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menjelaskan kerajaan negeri telah pun melalui beberapa siri proses sehingga memperoleh semua kelulusan yang diperlukan untuk projek berkenaan antaranya Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP).
Justeru tegasnya, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa proses perlombongan lantanid itu tidak akan memberi kesan buruk kepada nyawa dan alam sekitar.
Katanya lagi, prosesnya juga akan dijalankan dengan kaedah teknologi terkini dan bukan melalui kaedah perlombongan konvensional seperti perlombongan bijih timah.
“Kerajaan negeri sudah membuat ketetapan sekiranya lantanid ini ada unsur radioaktif, maka kerajaan negeri tidak sama sekali akan membenarkan ia dicari gali.
“Kemudian mereka cuba menghasut rakyat dengan membandingkan lantanid ini dengan (kesan) unsur radioaktif yang berlaku di Bukit Merah dahulu.
“Saya nak beritahu ia tidak benar sama sekali. Ini kerana bahan mineral tersebut adalah berbeza dengan lantanid, yang mana lantanid ini telah disahkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom bahawa ia bukan radioaktif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Pidato Perak Sejahtera 2030 Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak di sini pada Rabu.
Saarani sebelum itu diminta mengulas berkenaan kenyataan pihak pembangkang yang mendakwa kelulusan perlombongan lantanid di Gerik dikhuatiri akan memberi kesan radioaktif seperti yang pernah berlaku di Bukit Merah, Menglembu sekitar tahun 1980an.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How dilaporkan mendakwa kesan radioaktif hasil perlombongan lantanid di Gerik itu akan lebih teruk berbanding yang berlaku di Bukit Merah.
Malah, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, itu juga mendakwa tiada libat urus dan sesi penerangan yang dianjurkan kerajaan negeri bersama-sama dengan wakil rakyat pembangkang berkenaan isu perlombongan bahan mineral itu.
Sebagai respon, Saarani menafikan dakwaan itu dengan memberitahu pelbagai siri libat urus telah diadakan bersama mereka malah ia turut dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas.
Pada masa sama, Menteri Besar Perak turut menafikan dakwaan pembangkang yang mengatakan beliau mahu mencari sumber kekayaan peribadi di sebalik projek perlombongan itu.
“Cukup pada saya gaji yang saya ada ini. Jangan ada tuduhan yang mengatakan bahawa Menteri Besar Perak ‘gila’ nak jadi kaya dengan mencari lantanid. Saya kekal dengan cara saya, tidak akan berniaga mencari kekayaan berdasarkan lantanid.
“Sebaliknya, lantanid ini diperlukan bagi dijadikan sumber hasil baru untuk kekayaan Negeri Perak. Apabila ada duit (sumber baru), baru boleh buat banyak benda.
“Sekolah, masjid, jalan raya semua perlukan bantuan dan penyelenggaraan. Ini semua perlukan duit,” jelasnya.

Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo