NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BERSATU setuju cadangan PAS Terengganu guna lambang sendiri pada PRU-15

KUALA TERENGGANU: BERSATU negeri ini bersetuju dengan cadangan PAS untuk menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris, berkata penggunaan lambang PAS atau Perikatan Nasional (PN) bukan satu keperluan, sebaliknya tumpuan lebih kepada usaha memastikan parti menang dan terus menerajui kepimpinan negeri.

Katanya, PAS negeri pasti sudah melakukan kajian terutama pada peringkat akar umbi mengenai penggunaan lambang pada PRU-15.

"PAS negeri mencadangkan penggunaan lambang parti itu kerana mereka tentunya sudah melakukan kajian terperinci sehingga ke peringkat akar umbi.

"Jadi, BERSATU negeri tiada halangan mengenai isu penggunaan lambang, terpulanglah kepada parti itu sama ada menggunakan lambang sendiri atau PN...keutamaan saya adalah parti menang dan terus mentadbir negeri," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Pada Konvensyen PN Sabtu lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, Ariffin Deraman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Alur Limbat mencadangkan PN menggunakan lambang PAS pada PRU-15.

Ariffin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri dilaporkan berkata, cadangan itu dibangkitkan susulan senario politik di Pantai Timur berbeza berbanding pada peringkat Persekutuan.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Timbalan Pengerusi PN negeri, berkata pimpinan tertinggi parti diminta membuat kaji selidik untuk menilai sama ada penggunaan lambang PN atau PAS yang mampu memberi kemenangan besar pada PRU-15 akan datang.

"Jika kemenangan parti gabungan PN mampu memperoleh kemenangan besar dengan menggunakan lambang PAS, kita tiada halangan dan bersetuju.

"Kita letak kemenangan PN nombor satu, tetapi keputusan penggunaan lambang akan diputuskan pada peringkat pimpinan tertinggi pusat," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo