NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Barang kemas, jam dan beg tangan disita dari Pavilion hasil penyelewengan dana 1MDB - DPP

Beliau berkata ketiadaan sebarang justifikasi daripada Najib memenuhi unsur pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1).- Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa sejumlah 2,435 unit barang kemas, tujuh utas jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita ketika serbuan di sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion adalah hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffry Ong berkata hal ini diperkukuh oleh fakta berlaku urus niaga langsung antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jo atau Jho Low serta sekutu rapatnya Eric Tan Kim Loong melalui syarikat Good Star and Blackstone Asia Real Estate Partners.
"Sumber utama wang dalam akaun Ambank Datuk Seri Najib yang berakhir dengan angka 694 adalah daripada wang yang dipindahkan daripada Good Star and Blackstone Asia Real Estate Partners iaitu syarikat yang dikawal oleh Jho Low dan Eric Tan," katanya dalam hujah bertulis bagi permohonan kerajaan untuk merampas barang yang disita itu.
Beliau berkata Good Star, Jho Low, dua putera Arab Saudi iaitu Putera Faisal dan Putera Saud, Blackstone Asia Real Estate Partners serta Najib tidak mempunyai sebarang kaitan atau urusan perniagaan dengan 1MDB bagi mewajarkan mereka menerima wang itu daripada 1MDB.
"Tiada alasan perniagaan atau komersial untuk pergerakan wang sedemikian. Oleh itu, wang yang diperoleh Good Star dalam akaunnya bernombor 1116073 di Bank RBS Coutts telah diperoleh melalui perlakuan jenayah iaitu kesalahan pecah amanah jenayah oleh ejen di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
"Pergerakan wang berikutnya daripada Good Star ke akaun Bank Riyad milik Putera Faisal serta Putera Saud dan akhirnya akaun Ambank Datuk Seri Najib yang berakhir dengan angka 694 memenuhi unsur-unsur pengubahan wang haram, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) serta kesalahan menerima harta curi di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan," katanya.
Harris Ong juga berkata pembukaan akaun Ambank Najib (9694) adalah semata-mata untuk menerima wang 1MDB daripada Good Star dan Aabar disusuli Tanore yang kemudian membawa kepada pembukaan akaun Ambank (1880) serta AmIslamic iaitu (1906) dan (1898).
Beliau berkata ketiadaan sebarang justifikasi daripada Najib memenuhi unsur pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1).
Barangan yang disita oleh polis dari premis milik Obyu Holdings di Pavilion Residences pada Mei 2018 telah dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB. Pada 2019, pendakwaan telah memfailkan permohonan pelucuthakan bagi menyita barangan terbabit.
Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor adalah pihak ketiga yang ingin menuntut barang kemas serta jam tangan dalam permohonan pelucuthakan pendakwaan terhadap Obyu Holdings, yang dimiliki ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusof.
Peguam Tania Scivetti, yang mewakili Najib, berhujah bahawa tujuh utas jam tangan jenama Richard Mille adalah hadiah kepada Najib dan tiada perkaitan antara jam tangan yang disita itu dengan dana 1MDB.
Beliau berkata berdasarkan afidavit pegawai penyiasat 1MDB iaitu Superintenden Foo Wei Min, beliau mengesahkan bahawa beberapa utas jam tangan itu adalah hadiah namun tiada bukti konklusif.
"Oleh itu, kami meminta mahkamah menolak permohonan ini dan jam tangan yang disita dikembalikan segera kepada Datuk Seri Najib," katanya.
Peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula berkata satu daripada jam tangan itu dibeli oleh Global Oriented Bhd di bawah seorang individu bernama 'Datuk Francis' sebagaimana yang dibuktikan daripada cek yang dikeluarkan oleh Taman Equine (M) Sdn Bhd manakala seutas lagi dibeli serta dibayar oleh Datuk Desmond Lim dengan kad kredit.
"Seutas lagi jam tangan dibeli oleh 'Datuk Francis YTL' dan kaedah pembayaran adalah menggunakan cek yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat pembinaan iaitu Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd," katanya.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 14 Nov untuk keputusan.
Terdahulu, Harris Ong memaklumkan mahkamah bahawa seunit daripada 2,436 barang kemas terbabit telah dipulangkan kepada Global Royalty Trading SAL.
Peguam Datuk David Gurupatham, yang mewakili syarikat barang kemas Lubnan itu, berkata Jabatan Peguam Negara berpuas hati dengan representasi pihaknya sebelum ini berhubung tuntutan seutas rantai tangan emas putih bertatahkan berlian.
"Rantai tangan itu, yang disimpan di bilik kebal Bank Negara Malaysia, kini dikeluarkan dan menjadi hak milik simpanan syarikat. Oleh itu, kami menarik balik tuntutan di mahkamah," katanya.
-- BERNAMA





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo