NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

1MDB: Najib ada hak diberi taklimat mengenai laporan audit - Saksi


KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat bersetuju di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Datuk Seri Najib Razak, berhak untuk diberi taklimat mengenai sebarang cadangan atau pembetulan serta keadaan kewangan sebenar syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Penguasa Kanan Cawangan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Haniff Lami, 34, juga bersetuju dengan cadangan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib bahawa 1MDB adalah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan memiliki 100 peratus sahamnya dan Najib ketika itu merupakan Menteri Kewangan.
Muhammad Shafee: Jadi, Datuk Seri Najib berhak untuk diberi taklimat mengenai cadangan dan keadaan kewangan sebenar syarikat?
Haniff: Benar.
Saksi pendakwaan ke-16 itu mengakui beliau tidak mempunyai kepakaran dalam menyiasat kes-kes melibatkan bidang audit dan tidak pernah menyiasat kes melibatkan pengauditan selain daripada kes ini.
"Saya mula berkhidmat dengan SPRM sebagai pegawai penyiasat pada 2016, iaitu dua tahun sebelum saya ditugaskan untuk menyiasat kes pindaan laporan audit ini pada 2018," katanya pada perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, berhubung pindaan laporan akhir audit 1MDB hari ini.
Disoal Muhammad Shafee, saksi itu juga mengakui bahawa beliau membuat kesimpulan dalam penyataan saksinya sebelum ini, hanyalah berdasarkan keterangan lisan dan bertulis dari saksi-saksi lain yang disiasatnya.
Pada perbicaraan sebelum ini, saksi itu menyatakan berdasarkan hasil siasatannya, Najib dan Arul Kanda telah meminda laporan akhir audit 1MDB bagi melindungi diri mereka daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah berhubung perjalanan operasi syarikat itu.
Haniff berkata beliau juga tahu mengenai kenyataan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang kepada pihak media di Parlimen pada Disember 2018 yang menyatakan tiada sesiapa yang boleh meminda laporan audit 1MDB tanpa persetujuannya (Ambrin).
Muhammad Shafee: Jadi dalam kenyataannya, Ambrin maksudkan tiada sebarang isu 'tampering' dibuat terhadap laporan 1MDB.
Haniff: Benar.
Muhammad Shafee: Beliau (Ambrin) juga cakap 'tiada sesiapa boleh pinda laporan audit 1MDB tanpa kebenarannya, jika perlu pinda, harus dibincang bersama pasukan audit dan perlu ada justifikasi sebelum pindaan dilakukan'.
Haniff: Benar.
Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu 'sekali lagi dimuktamadkan' dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 7 Sept.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo