NOTIS:

Belum ada lagi....

UMNO desak bubar Parlimen untuk elak malapetaka lebih besar - Penganalisis

0

UMNO cuba untuk mengelakkan malapetaka lebih besar memandangkan situasi politik semasa yang semakin tidak boleh dijangka. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Faktor kejayaan dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) serta kes mahkamah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara punca mengapa UMNO mendesak pembubaran Parlimen secepat mungkin.
Ketua Pegawai Eksekutif ILHAM Centre, Prof Madya Hamidin Abdul Hamid berpendapat, UMNO sebetulnya cuba untuk mengelakkan malapetaka lebih besar memandangkan situasi politik semasa yang semakin tidak boleh dijangka.
"Saya percaya UMNO ada dua sebab utama mengapa mahukan pembubaran Parlimen dalam masa singkat.
“Pertama mereka masih percaya dengan kehangatan dan kelebihan ketika pilihan raya di Melaka dan Johor mampu untuk mereka ulangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Bagi mereka, perkara yang membolehkan mereka menguasai dua pertiga Dewan Undangan Negeri Melaka dan Johor boleh diguna pakai untuk membawa kejayaan sama di peringkat Persekutuan.
"Kedua, saya melihat mereka merasakan bahawa dengan pengekalan hukuman oleh Mahkamah Persekutuan terhadap Datuk Seri Najib, ia satu elemen simpati UMNO bagi mendapatkan sokongan orang Melayu, bahawa ketidakadilan telah dilaksanakan kepada Najib.
"Saya merasakan amat penting untuk UMNO, tambahan lagi mereka tidak mahu PRU berada jauh ke belakang kerana mereka sendiri tidak tahu apakah malapetaka yang boleh datang selepas ini.
“Jika dilihat ketika ini, bukan soalan tentang kes mahkamah (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan pemimpin UMNO sahaja tetapi muncul juga skandal LCS dan pertahanan, jadi UMNO rasa sebelum perkara di luar kawalan, lebih baik diadakan pilihan raya," katanya ketika muncul dama program Fokus Minggu Depan terbitan Astro AWANI pada Ahad.
Namun begitu, kata Hamidin, UMNO juga tidak boleh terlalu yakin kerana naratif negatif yang melingkari parti itu masih kuat dalam kalangan rakyat, apatah lagi dengan dakwaan wujudnya dua kluster berbeza dalam UMNO iaitu kluster mahkamah menguasai parti dan kluster Putrajaya menguasai kerajaan.
Justeru, katanya, UMNO perlu mengakui hakikat untuk memenangi pilihan raya umum, parti itu memerlukan lebih banyak sokongan daripada luar kawasan terutamanya mereka yang bukan daripada ahli parti.
Jelas Hamidin, PRN Melaka dan Johor mampu ditangani UMNO dengan menggembleng dua buah negeri yang mempunyai asas parti yang agak besar, tetapi untuk PRU keadaannya sangat berbeza.
Bahkan, Hamidin tidak menolak, PRU15 merupakan satu cabaran getir untuk UMNO sekiranya naratif dalaman yang diperlihatkan sekarang ini tidak berubah.
"Kita lihat pada 2018, 1MDB menjadi perfect storm kepada UMNO, adakah isu seperti Najib Razak dan beberapa lagi kes mahkamah yang berprofil tinggi, akan membina satu lagi perfect storm untuk UMNO, bersama dengan skandal pertahanan?
"Saya merasakan UMNO harus sedar dan menerima naratif rakyat, mereka sudah tidak lagi mampu untuk merasakan bahawa masyarakat akan boleh menerima apa saja yang mereka katakan seperti semasa mereka menjadi parti yang dominan dahulu.
"2018 menunjukkan dan sepatutnya memberikan pengajaran kepada mereka bahawa ia adalah sebahagian daripada kehendak rakyat dan apa yang berlaku semalam dalam Taklimat Khas Presiden UMNO, saya kira ia amat memberikan kesan yang negatif kepada rakyat," ujarnya.

Sumber | Astro Awani





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo