NOTIS:

Belum ada lagi....

Skandal LCS: Tiada dana tambahan untuk kapal pertama - Hishammuddin

0

Hishammuddin berkata tumpuannya kali ini adalah memastikan kapal pertama LCS dapat disempurnakan dalam masa terdekat. - Gambar fail/ Astro AWANI


KUALA LUMPUR: Tiada dana tambahan diperuntukkan sekiranya kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia yang pertama tidak disiapkan mengikut jadual, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata tumpuannya kali ini adalah memastikan dalam masa terdekat ini, kapal pertama LCS dapat disempurnakan.
"Jadi saya hendak tengok apa yang dah dirancang, apa yang telah dibentangkan kepada kabinet, apa yang telah saya jawab di Dewan Negara dapat disempurnakan, dan ujiannya adalah kapal pertama tadi. Kapal pertama ini tidak akan menerima suntikan dana terbaharu.
"Buktikan kepada saya yang kita boleh siapkan kapal (LCS) pertama dahulu. Kalau kapal pertama pun tak boleh siapkan seperti agenda di bawah pelan kita kali ini, tidak guna kita fikirkan dana tambahan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan dan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera ke-50, di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Sementara itu Hishammuddin menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa tiada sebarang perkembangan langsung berhubung pembinaan kapal LCS, malah menurutnya aset berada dalam pelbagai peringkat pembinaan.
"Yang penting dengan perancangan yang tulus, dengan pembentangan kepada semua, itulah harapan kita semua. Kapal pertama, kedua dan selanjutnya. Ada perancangan lain seperti pembinaan kapal misi pesisir (LMS) yang kedua, kita harap ia dapat dipenuhi dan kita dapat sampaikan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia," katanya.
Mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Hishammuddin berkata semua perkara sedang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan akan disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapatkan pandangan.
"Sebab itulah saya harap jangan kita hanya memikirkan isu RCI sahaja kerana kertas laporan yang diumumkan telah pun dalam proses diklasifikasi, proses mobilisasi, untuk melihat ke hadapan, projek ini sedang berjalan rancak sekarang," katanya.
Semalam, Hishammuddin sewaktu menggulung perbahasan usul berkaitan projek LCS di Dewan Negara berkata beliau akan membawa cadangan oleh beberapa ahli Dewan Negara berhubung penubuhan RCI bagi menyiasat skandal LCS ke kabinet hari ini.
-- BERNAMA




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo