NOTIS:

Belum ada lagi....

Skandal LCS: Hishammuddin tidak terlintas lari daripada mewarisi dosa orang lain

0

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tidak pernah terlintas di hatinya untuk lari daripada tanggungjawab menguruskan kontroversi kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS). - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tidak pernah terlintas di hatinya untuk lari daripada tanggungjawab menguruskan kontroversi kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Justeru, beliau menegaskan, mana-mana individu termasuk ahli politik dan beliau sendiri, jika didapati terlibat dengan salah laku tetap akan dihadapkan ke muka pengadilan.
Jelas Hishammuddin, selaku Menteri Pertahanan ketika ini, beliau komited untuk memastikan isu perolehan LCS diselesaikan dan menyedari keperluan TLDM untuk mendapatkan kapal tempur tersebut.
"Tidak terlintas di hati kecil saya bahawa nak lari daripada mewarisi dosa orang lain. (Apa yang saya lakukan) ketika ini datangnya daripada tanggungjawab yang saya pikul (sebagai Menteri Pertahanan).
"Saya telah nyatakan kepada dewan yang mulia ini, bahawa saya memberi fokus tanpa segan silu, pertamanya sama ada projek perlu diteruskan dan hari ini perbahasan di Dewan Negara tidak ada mana-mana pihak yang menyatakan projek ini perlu dibatalkan.
"Kedua, saya telah menyatakan bahawa siapa yang salah adalah tetap salah," kata beliau di Dewan Negara, hari ini.
Hishammuddin menjawab usul berkaitan projek pembinaan LCS yang dibawa oleh Senator Lim Hui Ying.
Dalam masa sama, Hishammudin berkata, pendakwaan yang dibuat terhadap individu yang terlibat dengan kes perolehan LCS tidak hanya melibatkan pegawai bawahan atau 'ikan bilis' sahaja.
"Nak kata tindakan yang diambi terhadap bekas Panglima TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor ini merupakan perkara kecil, bukan mudah dan tetap diambil kerana Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) sendiri (yang didedahkan dalam laporan).
"Saya tahu kalau tengok pertimbangan politik, ahli-ahli politikus ini (yang diharapkan) didakwa... yang ‘jerung-jerung’ ini.
"Tetapi ini tidak bermakna yang didakwa sekarang adalah ‘ikan bilis’ dan ia telah diperakui oleh PAC. Berdasarkan laporan PAC di muka surat 151, di mana disebut semakan dan analisa dokumen dan sejarah transaksi berkaitan menunjukkan wujud penyelewengan, penipuan, dan salah urus tadbir yang melibatkan pegawai-pegawai dan beberapa pegawai-pegawai bawahan BHIC (Boustead Heavy Industries Corporation Bhd)," jelas beliau lagi.
Hari ini, Ahmad Ramli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berkaitan dana syarikat pembuat kapal, Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd.
Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Pengarah Urusan BNS, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dan minta dibicarakan
Dalam masa yang sama, beliau berkata, dalam tempoh enam bulan ini Mindef akan giat melakukan rundingan dengan pihak pengilang peralatan asal (OEM), vendor serta perbankan sebagai pelan mobilisasi bagi memastikan LCS dapat disiapkan.
Tegas Hishammuddin, pelan mobilisasi yang dirancang tidak akan melibatkan tambahan kos ketika ini.
"Dalam LCS pertama melalui pelan kita melihat ke hadapan, saya rasa peruntukan sedia ada mencukupi untuk mereka meyakinkan pada saya, Mindef dan kerajaan bahawa mereka mampu (menyiapkan LCS).
"Kalau sekiranya dengan 67 peratus kapal dah siap dia tak boleh siapkan, bermakna bagaimana dia boleh yakinkan kepada kita (untuk siapkan) empat buah kapal lagi," katanya.

Sumber | Astro Awani 






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo