NOTIS:

Belum ada lagi....

PRU15 : Warisan mungkin bergerak solo - Shafie Apdal

0
Presiden Warisan Shafie Apdal membayangkan parti itu akan bergerak solo termasuk di Semenanjung pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurut beliau, parti itu telah mengenalpasti kesemua 25 calon bagi kerusi Parlimen di Sabah, satu kerusi di Labuan serta beberapa kerusi di Semenanjung.

Katanya, mereka tidak mahu lagi terlalu memikirkan soal kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan, sebaliknya kerjasama dengan rakyat menjadi keutamaan.

“Kita sudah bersedia (untuk menghadapi PRU15), malah senarai calon untuk kesemua 26 kerusi parlimen di Sabah (termasuk satu di Labuan) sudah dikenalpasti.

“Bukan saja calon parlimen (telah dikenal pasti), tetapi juga calon bagi kerusi DUN kerana kita perlu bersiap sedia hadapi sebarang kemungkinan.

“Di Semenanjung juga tiada (kerjasama dengan parti atau gabungan lain), seperti saya katakan tadi, kita tidak perlu khemah besar atau sebagainya, kita hanya mahu bekerjasama dengan rakyat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan dan Pemilihan Warisan 2021, di Dewan KDCA, di sini, hari ini.

Bagaimanapun Shafie berkata, biarpun calon sudah dikenal pasti namun mereka bersedia untuk “mengubah” senarai calon jika berlaku kerjasama dengan PBS.

“Saya sudah sebutkan, antaranya PBS dengan kita memang tidak boleh dipaksa, kalau orang tidak mahu, buat apa mahu paksa.

“Ya senarai calon Warisan untuk kesemua kerusi parlimen di Sabah telah dikenalpasti, kalau PBS ada, saya tahu di mana mahu ‘adjust’, saya tahu di mana kekuatan PBS,” katanya.

Sebelum ini, Shafie sering menyatakan hasrat Warisan untuk bekerjasama dengan PBS kerana menganggap perjuangan kedua-dua parti hampir sama.

Presiden PBS Maximus Ongkili juga pernah menyatakan yang parti itu sedia bekerjasama dengan mana-mana parti lain termasuk Warisan jika ia memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

PBS ketika ini adalah sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama-sama dengan Bersatu, Parti Progresif Sabah (SAPP), Star dan Usno.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo