NOTIS:

Belum ada lagi....

PH lakukan pendakwaan terpilih terhadap saya, lebih 20 pemimpin BN - Ahmad Zahid

0

Ahmad Zahid berkata apabila BN gagal membentuk kerajaan pada 2018, beliau dan pemimpin lain telah diheret ke mahkamah atas kesalahan jenayah.- Gambar fail

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melakukan pendakwaan terpilih yang bermotifkan politik terhadapnya dan lebih 20 pemimpin Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ahmad Zahid, 69, berkata apabila BN gagal membentuk kerajaan pada 2018, beliau dan pemimpin lain termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah diheret ke mahkamah atas kesalahan jenayah.
"Yang Arif, saya sedari bahawa pada 9 Mei 2018, apabila kerajaan di bawah BN telah gagal memperoleh kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan, maka gabungan parti lain ambil alih dan dalam bulan Jun (2018) laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat kepada saya," katanya.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal ketika membela diri atas 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akalbudi (YAB).
Menurut Ahmad Zahid, apabila gabungan baharu PH mengambil alih, pertuduhan terhadap 15 individu di mahkamah telah ditarik balik antaranya Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa, Naib Presiden PKR ketika itu Rafizi Ramli dan beberapa individu lain.
"Kalau ini bukan pertuduhan bermotifkan politik, saya tidak tahu apakah lagi istilah lain yang digunakan? Yang dituduh ditarik balik (kes) oleh peguam negara ketika itu, manakala individu dari parti yang kalah diheret ke mahkamah untuk dituduh.
"Apa yang mahu saya sebut di sini ialah keyakinan kami kepada mahkamah yang adil serta sistem perundangan yang betul," kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Ahmad Zahid berkata kertas laporan dalam siasatan sepatutnya mengutamakan untuk menyiasat isu yang merosakkan sistem keadilan dan penguatkuasaan, bukannya dijadikan sebagai satu langkah untuk membalas dendam oleh pemimpin yang mengambil alih kerajaan.
Kepada soalan Ahmad Zaidi sama ada beliau diugut secara halus atau kasar contohnya oleh perdana menteri dan timbalan perdana menteri berhubung kes YAB, Ahmad Zahid berkata:
"Tidak spesifik diugut perkara yang berhubung kait dengan YAB tetapi ugutan pada jawatan yang saya pegang dalam parti apabila saya jalankan tugas sebagai Presiden UMNO".
"Seorang yang telah jadi perdana menteri ketika itu iaitu Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) menyatakan beliau mahu jumpa saya dan ugutan yang dibuat jika saya tidak keluar parti dan membubarkan UMNO, sesuatu akan dilakukan kepada saya, tentulah pertuduhan yang dibuat kepada saya ekoran daripada ugutan itu," katanya.
Katanya Dr Mahathir mengakui di dalam beberapa media bahawa beliau memintanya (Ahmad Zahid) keluar parti dan membubarkan UMNO dan pengakuan tersebut merupakan bukti yang kukuh.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 2 petang.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo