NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penubuhan universiti, bank khas untuk wanita antara enam resolusi Wanita BN

Penubuhan Universiti Wanita dan Bank Wanita merupakan antara enam resolusi yang dicadangkan oleh Wanita Barisan Nasional (BN) sebagai tawaran baharu kepada rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penubuhan Universiti Wanita dan Bank Wanita merupakan antara enam resolusi yang dicadangkan oleh Wanita Barisan Nasional (BN) sebagai tawaran baharu kepada rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Wanita BN Datuk Seri Noraini Ahmad berkata gabungan komponen itu juga mencadangkan wanita yang mempunyai anak berusia bawah dua tahun diberikan pilihan serta kelonggaran untuk bekerja dari rumah bagi memudahkan urusan penjagaan anak tanpa pemotongan gaji dan elaun.
"Satu lagi yang Wanita cakna ialah isu kerakyatan automatik kanak-kanak yang lahir di luar negara dan beribukan warganegara Malaysia, yang masih belum selesai.
"Kita memohon supaya pihak kerajaan meminda Perlembagaan Negara agar perkataan 'bapa' dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 1(b) Bahagian II Perlembagaan Persekutuan, dipanjangkan kepada 'ibu' atau ditukarkan kepada 'ibu bapa'," katanya dalam ucapan penangguhan Konvensyen Wanita BN di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie, Ketua Wanita MIC Datuk Mohana Muniandy dan Ketua Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Zainon Kayum.
Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO berkata dapatan resolusi hasil daripada prakonvensyen yang dilakukan di 13 negeri juga mencadangkan Bantuan Khas Pendidikan dan proses pendaftaran yang fleksibel perlu dibuat bagi memastikan anak-anak yang keciciran dapat kembali ke sekolah.
Beliau berkata Wanita BN juga mencadangkan penjenamaan semula projek Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan memperluas bantuan kepada semua pelajar yang memerlukan, iaitu tidak terhad kepada B40 sahaja.
Sementara itu, Noraini berkata Wanita BN konsisten dengan cadangan 30 peratus calon wanita pada PRU15, isu yang diperjuangkan sejak dahulu.
"Bahkan, saya rasa tidak keterlaluan untuk Wanita menggesa supaya pihak kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menetapkan setiap parti wajib mengemukakan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita untuk melayakkan parti berkenaan bertanding dalam pilihan raya umum," katanya.
Menurut Noraini, Wanita BN juga sentiasa menyokong perjuangan memperkasakan dan mencapai matlamat 30 peratus penyertaan wanita dalam kalangan pembuat dasar negara.
Beliau berkata semakan realiti menunjukkan wanita di Malaysia masih ketinggalan dan belum mencecah sasaran seperti ditetapkan.
Resolusi berkenaan kemudian diserahkan kepada Ahmad Zahid untuk dibawa ke perbincangan kepimpinan tertinggi BN seterusnya kepada peringkat kerajaan.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut melancarkan Jentera Wanita BN.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo