NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peguam Najib masih dakwa RM42j daripada Arab Saudi

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah masih mendakwa wang RM42 juta yang masuk ke dalam akaun bank anak guamnya Datuk Seri Najib Razak, adalah derma daripada kerabat diraja Arab Saudi, walaupun mahkamah membuat keputusan dan penilaian sebaliknya.
Shafee membuat dakwaan itu ketika dijemput memberi ucapan pada taklimat khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara hari ini (Sabtu, 27 Ogos 2022) yang dihadiri ketua-ketua bahagian dan cawangan parti itu.

Najib ketika fasa rayuan akhir berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC Internasional Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan pada 25 Julai membuat kejutan dengan memberhentikan khidmat Shafee dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya.

Shafee mendakwa perjanjian itu dibuat ketika pertemuan Najib dengan Almarhum Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, yang turut dihadiri dua menteri dan seorang duta.

“Ia bukan kerana dia sayangkan Najib, tetapi dia sangat suka bagaimana Najib menjaga Malaysia,” katanya menurut The Star.

Kenyataan beliau dilihat menyanggah keputusan Mahkamah Rayuan pada Disember tahun lalu bahawa tiada bukti langsung menunjukkan RM42 juta itu datangnya daripada atau mungkin datang daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Malah, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan itu menganggap pembelaan Najib kononnya menerima derma daripada keluarga diraja itu adalah dongengan umpama Hikayat Seribu Satu Malam.

Dalam penghakiman bertulis setebal 308 muka surat, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berkata, kisah derma Arab itu tidak lain hanyalah rekaan yang langsung tidak mempunyai kredibiliti.

“Kisah ini malah lebih dongeng daripada kisah Hikayat Seribu Satu Malam, bukan hanya tidak ada kredibiliti, malah dongeng ini bercanggah, dan ditolak oleh keterangan berdokumen,” katanya.

Panel hakim itu memutuskan bahawa tidak ada bukti langsung yang menunjukkan RM42 juta datangnya daripada, atau mungkin datang daripada keluarga Diraja Arab Saudi, malah tidak ada asas yang munasabah bagi perayu untuk mempercayainya.

“Dana ini datang daripada SRC International Sdn Bhd, dan ia telah dibuktikan. Perayu (Najib) mendakwa bahawa beliau mengandaikan dana yang masuk ke dalam akaunnya itu adalah derma daripada keluarga Diraja Arab.

“Bagi menyokongnya, rujukan dibuat kepada beberapa surat bertulisan Arab yang dikatakan ditulis oleh Putera Arab Saudi Abdulaziz Al-Saud bagi pihak Raja Arab Saudi.

“Bagaimanapun penulisnya tidak dipanggil, dan ketulenan surat-surat ini tidak dibuktikan dalam perbicaraan ini. Kandungan surat-surat ini adalah keterangan dengar cakap yang tidak diterima masuk,” kata hakim.

Berhubung dua siaran akhbar oleh Peguam Negara pada 2016, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang memutuskan bahawa Najib tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah berkaitan SRC International, serta dananya, di samping kes derma RM2.6 billion, hakim itu berkata ia tidak bernilai, sehinggakan walaupun selepas dua siaran akhbar berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih terus menyiasat sumber dana yang dikatakan dari Arab Saudi itu bagi memastikan sekiranya RM2.6 bilion yang masuk ke akaun perayu adalah derma.

“Pegawai SPRM pergi ke Arab Saudi untuk menyiasat perkara itu, namun gagal mendapatkan sebarang pengesahan daripada pihak yang dikatakan penderma Arab, dalam bentuk bukti yang boleh diterima.

“Oleh itu siaran akhbar Mohamed Apandi itu tidak boleh diterima untuk membebaskan Najib daripada kesalahan, dan ia juga tidak boleh membuktikan pendakwaan salah.

“Pandangan Mohamed Apandi yang dibuat pada sidang media itu, adalah mengenai hal ehwal negara sehingga 26 Januari 2016, semasa siasatan sedang berjalan.

“Sudah tentu kenyataan pramatang itu tidak boleh mengikat Peguam Negara selepasnya daripada menggunakan kuasa-kuasa pendakwaannya apabila bukti-bukti tambahan telah dikumpul,” katanya.

Hakim itu berkata Najib tidak mengambil sebarang langkah untuk menyiasat aliran dana yang masuk ke dalam akaunnya, sebaliknya telah dilihat seolah-olah bergantung kepada apa yang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Lo katakan kepada beliau, mengenai sumber dana… itu saja.

“Pada masa itu beliau adalah Perdana Menteri dan mempunyai setiap peluang termasuk saluran rasmi kerajaan untuk membuat pertanyaan dan mengesahkan sekiranya dana itu sememangnya benar-benar datang daripada keluarga Diraja Arab Saudi. Perayu tidak mengambil sebarang langkah sekalipun bagi mengesahkan kebenaran sumber seperi yang dimaklumkan kepadanya oleh Jho Low,” katanya.

Pada 18 Disember 2021 panel hakim Mahkamah Rayuan itu sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Mereka membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Najib, sekali gus menghantar bekas Presiden UMNO itu ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman 12 tahun.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo