NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Majoriti Ketua Bahagian UMNO tolak usul desak PM campur tangan kes SRC - Sumber

Ada dalam kalangan ketua bahagian yang dikatakan terpaksa datang selepas diugut tidak akan diberi watikah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Mesyuarat tergempar melibatkan ketua-ketua bahagian UMNO yang berlangsung di ibu pejabat parti itu pada Isnin gagal mencapai kata sepakat untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Sumber dalaman memberitahu Astro AWANI, ramai ketua bahagian yang hadir mesyuarat tersebut tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan pemimpin utama UMNO.
Menurut sumber itu lagi, ada dalam kalangan kalangan ketua bahagian yang terpaksa datang selepas dipercayai diberi kata dua, tidak akan diberi watikah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Kami (ketua bahagian UMNO) dapat jemputan untuk hadir mesyuarat tergempar ini malam tadi dan di sebelah pagi cuma 54 orang sahaja yang datang.
"Tetapi ada desas-desus bertiup jika (ada ketua bahagian) tidak datang ke mesyuarat tergempar ini maka tidak akan menerima watikah untuk bertanding dalam PRU15, maka datanglah lagi 20 orang ketua bahagian.
"Pengerusi perhubungan juga dipaksa datang ke pertemuan tersebut. Dalam pertemuan itu dinyatakan untuk desak PM campur tangan kes mahkamah tetapi ramai yang tidak bersetuju.
"Ramai juga ketua bahagian yang menentang cadangan tersebut kerana ia merupakan salah guna kuasa dan akan memberi kesan kepada UMNO jika dilihat campur tangan dalam kes mahkamah," dakwa sumber tersebut.
Sumber tersebut juga memaklumkan, ada yang berpendapat sekiranya Perdana Menteri campur tangan dalam kes mahkamah ia boleh menyebabkan UMNO sekali lagi tewas dalam PRU15.
Sebelum ini, SuaraTV melaporkan mesyuarat tergempar Ketua-ketua UMNO Bahagian bersama Presiden tengah hari tadi dikatakan bertujuan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masuk campur dalam kes mahkamah.
Menurut sumber, perjumpaan tersebut bermula dengan desakan agar Ismail Sabri mengarahkan kehakiman menangguhkan kes Najib selama tiga bulan.
Desakan kedua ialah mahukan Perdana Menteri menasihati Peguam Negara agar mendakwa Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Bagaimanapun sebahagian ketua bahagian menentang cadangan tersebut kerana ia merupakan salah guna kuasa dan menghakis prinsip pengasingan kuasa.
Astro AWANI difahamkan yang menentang desakan tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim.
Perdana Menteri sebelum ini menegaskan, beliau tidak mencampuri sebarang urusan mahkamah dan mengangkat prinsip pengasingan kuasa.

Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo