NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kestabilan bermusyawarah

Ternyata, Ismail Sabri dapat melihat realiti politik baharu dan mencari jalan bagi memastikan kerajaannya dapat menstabilkan politik. - Foto BERNAMA

APABILA kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyambut ulang tahun pertamanya pada Ahad ini, Malaysia telah melengkapkan setahun yang stabil tanpa sebarang percubaan serius untuk menjatuhkan kerajaan.
Malah, gejala lompat parti menjadi tidak sah dengan lulusnya undang-undang anti lompat parti di Parlimen yang hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk berkuat kuasa.
Ia satu pencapaian yang impresif bagi Malaysia sejak penghujung 2019 apabila Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mengotakan janji beliau kepada Pakatan Harapan (PH) untuk digantikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua tahun.
Dari situ, kita lihat jatuhnya dua kerajaan dengan jangka hayat yang singkat – 22 bulan untuk kerajaan Dr Mahathir dan 18 bulan bagi kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tidak hairanlah apabila Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 21 Ogos tahun lalu, ramai menjangka beliau akan memperbaharui rekod Muhyiddin sebagai Perdana Menteri paling singkat tempohnya.
Ia mungkin berlaku jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan awal dan Ismail Sabri digantikan oleh pemimpin lain sebelum 10 Februari 2023 sekali pun Barisan Nasional (BN) menang besar. Ia seperti penggantian mengejut Datuk Hasni Mohamad oleh Onn Hafiz Ghani sebagai Menteri Besar Johor. Lain yang dipesan, lain yang sampai.
Ismail Sabri dilihat lemah daripada kaca mata politik yang lama kerana bukan sahaja kerajaan beliau adalah gabungan sementara tiga blok – BN, PN, GPS dan parti-parti kecil dengan majoriti tipis, malah beliau bukan presiden partinya.
Namun, beliau bukan sahaja berjaya bertahan selama setahun, malah membawa reformasi institusi penting, yang gagal dibawa oleh PH seperti undang-undang anti lompat parti dan pemerkasaan Parlimen yang lebih mendalam.
Kejayaan Ismail Sabri untuk bertahan dan membawa reformasi menggambarkan kebijaksanaan beliau bagi melihat perubahan arus politik iaitu berakhirnya dominasi politik selepas 2018.
Dalam bahasa mudah, dominasi untuk mengenakan kehendak Perdana Menteri dan parti kerajaan ke atas pihak lain, dengan paksaan atau imbuhan. Kata kuncinya ialah kerajaan majoriti, malah majoriti dua pertiga.
Dr Mahathir yang pernah memerintah selama 22 tahun secara dominan cuba memulihkan dominasi dengan menggalakkan parti komponen BN dan wakil rakyat UMNO meninggalkan gabungan/parti mereka.
Bersatu berjaya menggandakan ahli Parlimennya dan majoriti PH meningkat daripada 121 pada malam pilihan raya kepada 139 sebelum tumbang kerana perbalahan dalaman.
Kesudahan yang tidak dihasratkan (unintended consequence) oleh Dr Mahathir ialah dengan GPS dan parti-parti Sabah menjadi autonomi, Parlimen akan menjadi ‘tergantung’ yakni tanpa sebuah parti atau gabungan majoriti kecuali ada gabungan yang dapat memenangi hampir 100 kerusi di Semenanjung.
Ternyata, Ismail Sabri dapat melihat realiti politik baharu dan mencari jalan bagi memastikan kerajaannya dapat menstabilkan politik, mentadbir serta membawa reformasi.
Perdana Menteri dengan beraninya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama PH dan menikmati majoriti hampir 210 kerusi di Dewan Rakyat. Ia bukan majoriti yang membolehkan beliau bermaharajalela tetapi majoriti yang membolehkan kestabilan dan transformasi atas semangat musyawarah.
Daripada memusuhi parti lawan, Ismail Sabri bersikap lebih adil kepada pesaing dan penyokong seperti saudara dalam keluarga walaupun tidak sependapat. Dengan itu, beliau telah berjaya menggantikan kekosongan ‘kestabilan berdominasi’ dengan ‘kestabilan bermusyawarah’.
Artikel asal di Sinar Plus

* Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen._
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo