NOTIS:

Belum ada lagi....

Kes Yayasan Akalbudi: Selepas 17 hari, Ahmad Zahid selesai beri keterangan pembelaan

0

Selepas 17 hari, Ahmad Zahid Hamidi hari ini selesai memberi keterangan pembelaan dalam perbicaraan kes melibatkan dirinya. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Selepas 17 hari, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini selesai memberi keterangan pembelaan dalam perbicaraan kes, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi terhadapnya di Mahkamah Tinggi, di sini.
Prosiding pembelaan itu ditetapkan bermula 13 April lalu apabila Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 24 Januari lalu telah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie bagi kes berkenaan.
Bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga saksi pembelaan pertama turut diperiksa balas oleh pasukan pendakwaan.
Peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal kemudian memohon mahkamah agar membebaskan anak guamnya dari kandang saksi.
Sementara itu seorang lagi peguam pasukan pembelaan Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh, memaklumkan mahkamah bahawa jumlah saksi pembelaan yang awalnya ditetapkan pada 43 orang dikurangkan kepada 40 orang, tidak termasuk Ahmad Zahid.
Pada awal prosiding, pembelaan mencadangkan hanya 20 saksi, namun kemudian mahkamah dimaklumkan pasukan pembelaan akan memanggil 43 saksi.
Hakim Collin Lawrence: Adakah kamu akan memanggil kesemua saksi itu?
Hamidi: Ya Yang Arif, mereka adalah saksi yang boleh dipanggil dalam tempoh singkat.
Hakim Collin Lawrence: Apakah keterangan saksi akan diserahkan kepada pendakwaan mengikut undang-undang?
Hamidi: Kami akan menyerahkan kenyataan kepada pihak pendakwaan 14 hari sebelum diputuskan.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran kemudian memohon mahkamah menambah tempoh perbicaraan memandangkan jumlah saksi yang terlalu banyak.
Namun begitu, peguam utama pembelaan, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memberitahu, tarikh tambahan tidak diperlukan memandangkan saksi-saksi berkenaan tidak akan mengambil masa yang terlalu panjang untuk memberi keterangan.
Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pembelaan selama 20 hari bermula 19 September hingga 10 November depan, untuk mendengar penghujahan seterusnya.
Terdahulu, mahkamah memberi tiga pilihan terhadap Ahmad Zahid untuk membela diri iaitu memberi keterangan secara bersumpah, berdiam diri atau memberi kenyataan tidak bersumpah dari tempat saksi tanpa pemeriksaan balas.
Peguam Hisyam Teh memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo