NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan cadang pelepasan automatik kebankrapan selepas 3 tahun

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA: Menambah baik peruntukan Seksyen 33C Akta Insolvensi (Akta 360) berkenaan pelepasan automatik daripada kebankrapan selepas tiga tahun, antara cadangan dikemukakan Jabatan Insolvensi kepada kerajaan bagi menambah baik undang-undang insolvensi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata cadangan penambahbaikan kepada peruntukan Seksyen 33C Akta 360 itu adalah bagi membantu lebih ramai individu bankrap keluar daripada kebankrapan selepas tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, Jabatan Insolvensi turut mencadangkan menetapkan had masa pemfailan Borang Bukti Hutang oleh pemiutang bagi mempercepatkan proses pelepasan kebankrapan atau pembatalan perintah kebankrapan, selain pemansuhan Mesyuarat Pertama Pemiutang.

"Cadangan untuk mesyuarat pemiutang hanya perlu diadakan berdasarkan keperluan dan permintaan pemiutang bagi mengelak kelengahan dan perancangan seterusnya dapat dibuat untuk membantu bankrap keluar daripada kebankrapan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Junaidi berkata, pihaknya juga mencadangkan penambahan penggunaan baharu berkenaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kebankrapan yang dapat membantu mereka yang bankrap berurusan dengan Jabatan Insolvensi secara dalam talian dan digital serta memudahkan pentadbiran kebankrapan.

"Fokus utama Jabatan Insolvensi adalah untuk mempercepatkan proses pentadbiran kebankrapan dan membantu bankrap keluar daripada kebankrapan dengan segera," katanya.

Wan Junaidi berkata, cadangan berkenaan akan dikaji secara terperinci oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) serta dibincangkan menerusi beberapa sesi libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum dimuktamadkan.

Susulan ambang keberhutangan ditingkatkan kepada RM100,000, Wan Junaidi berkata statistik kes kebankrapan didaftarkan menunjukkan pola penurunan iaitu 12,051 kes pada 2019; 8,351 kes pada 2020 dan 6,554 kes pada 2021. Sebanyak 3,604 kes direkodkan setakat Julai 2022.

"Pola penurunan ini disebabkan beberapa faktor termasuk inisiatif kerajaan melalui pemberian moratorium dan bantuan bersasar bank dengan pihak pemberi pinjaman (pemiutang) dan pihak peminjam boleh berbincang bagi membuat penyusunan semula hutang," katanya. 

Sumber | BERNAMA


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo