NOTIS:

Belum ada lagi....

Hakim watak penting pastikan sistem keadilan berwibawa - Sultan Nazrin

0

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja ketika baginda berangkat ke Majlis Pelancaran Jurnal Syariah Perak Al-Qanun Vol 1 2022 hari ini.- Foto BERNAMA

IPOH: Hakim merupakan watak penting dan mempunyai peranan besar dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman dalam sistem keadilan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Justeru, titah baginda, sebarang bentuk keraguan perlu dihindarkan dan seorang hakim itu perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan.

Titah baginda, penghakiman yang telus menggambarkan sistem keadilan yang berwibawa dan tidak dibayangi dengan perasaan gusar mahupun gentar pada sesiapa.

“Sejarah membuktikan bahawa Rasulullah SAW mengiktiraf dan memberi ruang kebebasan kepada Muaz bin Jabal, yang diutus sebagai wakil ke negara Yaman untuk berijtihad dengan kemampuan ilmunya dalam menjatuhkan hukuman sekiranya sesuatu perkara itu tidak terdapat dalam al-Quran mahupun As-Sunnah.
“Baginda tidak mempengaruhi pemikiran Muaz dalam berijtihad atau campur tangan dalam penghakimannya.
“Ayahanda Beta, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) pernah menyebut dalam ucapan perasmian Persidangan Undang-undang Malaysia ke-14, petikan: “ Kewujudan hakim serta mahkamah dalam sesuatu kelompok masyarakat tidak membuktikan apa-apa nilai, melainkan jika kualiti, kebebasan, dan kuasa entiti terbabit diambil kira”.
“Sehubungan itu, demi kepentingan keadilan, Beta selaku ketua agama Islam yang bertanggungjawab ke atas urusan hal ehwal agama Islam, mendukung sepenuhnya prinsip kebebasan kehakiman syariah di negeri ini,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Penerbitan Sulung Jurnal Syariah Negeri Perak, Al Qanun Jilid 1 serta Program Munaqasyah Perundangan dan Kehakiman, di sini, pada Isnin.
Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Hakim Syarie Negeri, Ab. Rahman Thobroni Mohd Mansor serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu Sultan Nazrin turut bertitah bahawa penulisan alasan penghakiman yang bernas dan berkualiti akan menjadi panduan serta rujukan kepada para pengamal undang-undang.
Justeru titah baginda, sandaran dan justifikasi yang kukuh terhadap sesuatu isu, penggunaan hukum dan prinsip undang-undang yang tepat akan menjamin kredibiliti hakim serta mengangkat sistem keadilan itu sendiri.
Dalam masa sama, Sultan Nazrin bertitah, dalam usaha mewujudkan Institusi Kehakiman Syariah yang berkredibiliti, para pegawai perlu diberi latihan dari semasa ke semasa.
Titah baginda, mereka perlu didedahkan dengan pengalaman agar pengetahuan dan kecekapan dalam mentafsir undang-undang serta Hukum Syarak mereka dapat ditingkatkan.
Titah Sultan Nazrin lagi, kompetensi mereka perlu sentiasa ditambah baik selaras dengan cabaran semasa dan kompleksiti kes-kes yang dikendalikan di Mahkamah Syariah pada masa kini.
“Lantaran itu, menjadi tanggungjawab Kerajaan Beta, membantu menyediakan keperluan latihan dan pembangunan kompetensi yang menitikberatkan aspek penguasaan ilmu dan pemantapan sahsiah.
“Kemudahan pembangunan latihan dan penyelidikan perlu dipertingkatkan, begitu juga prasarana yang selari dengan perkembangan teknologi terkini perlu diperuntukkan.
“Usaha menambah baik sistem kehakiman syariah dan memperkasakan Mahkamah Syariah hendaklah terus dirintis. Menerbitkan Al-Qanun, Jurnal Syariah Perak merupakan satu contoh usaha murni lagi terpuji,” titah Sultan Nazrin.

Sumber | Astro Awani





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo