NOTIS:

Belum ada lagi....

Allahyarham Khalid Ibrahim tokoh korporat tinggi integriti - Abdul Hadi

0

ABDUL HADI: "Apabila Allahyarham melibatkan diri dalam politik negeri Selangor, saya tidak teragak-agak untuk mencalonkannya menjadi Menteri Besar Selangor." - Gambar fail

SHAH ALAM: Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merupakan seorang tokoh korporat yang berjaya membebaskan ladang terbesar di Malaysia dan Indonesia daripada penguasaan Eropah yang pernah menjajah negara ini melalui kebijaksanaannya yang luar biasa.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketika diperkenalkan dengan bekas Menteri Besar Selangor itu pada tahun 2000, beliau tidak menyangka dapat menariknya untuk terjun ke gelanggang politik.
Ujar beliau, Allahyarham turut terkenal dengan sikap integritinya yang tinggi pada ketika itu.
“Apabila Allahyarham melibatkan diri dalam politik negeri Selangor, saya tidak teragak-agak untuk mencalonkannya menjadi Menteri Besar Selangor, walaupun beliau bukanlah wakil rakyat daripada Pas.
“Malah, Pas terus mendukung beliau setelah partinya sendiri menolaknya, sehingga berjaya menyambung tugas untuk beberapa ketika sebelum beliau disingkirkan.
“Sokongan diberikan kerana ketegasannya untuk menunaikan kewajipan bagi memimpin negeri Selangor dan tiada sebarang sebab yang kukuh pun untuk memberhentikannya daripada posisi yang disandangnya,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Ahad.
Ulas Abdul Hadi, Allahyarham turut mengajak beliau menjalankan satu tugas yang sangat berat untuk menyatukan kumpulan Islam di Indonesia.
Menurutnya, Allahyarham bukan sahaja dihormati malah mempunyai pengaruh dalam kalangan pemimpin kumpulan Islam di sana.
“Tanpa keberatan, saya mengikutinya ke Indonesia. Kemudian diaturkan satu pertemuan dengan para pemimpin utama kumpulan Islam di Indonesia yang terbesar, Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhamadiyah, termasuklah kumpulan yang tersohor, Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia (ICMI).
"Menurutnya, pertemuan tersebut bertemu titik persetujuan pada dasarnya yang memerlukan perpaduan umat antara satu sama lain sehingga ke peringkat serantau dalam segala lapangan disebabkan satu agama dan satu rumpun yang sama.
“Walau bagaimanapun, perkara tersebut sukar untuk dilaksanakan, khususnya apabila sebahagian daripada mereka yang hadir ketika itu telah kembali kepada Allah SWT.
“Saya mendapati Allahyarham sangat dihormati oleh semua pihak dan saya banyak menumpang ketokohan beliau,” ujarnya. -- Sinar Harian






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo