NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penjagaan spiritual bantu atasi kemurungan - Idris

Idris melawat Hospital Sungai Buloh bagi meninjau perkembangan program kerjasama antara Jakim dan KKM dalam perkhidmatan penjagaan spiritual. - Gambar/ FB Jakim

KUALA LUMPUR: Penjagaan spiritual harus diketengahkan sebagai kaedah alternatif bagi membantu Keluarga Malaysia yang berada dalam kemurungan atau tekanan dalaman dan membina kembali kekuatan individu terbabit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad menerusi hantaran Facebook hari ini berkata kekuatan rohani dan keseimbangan kesihatan mental dan fizikal perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan besar kepada diri seseorang.
"Hari ini saya berada di Hospital Sungai Buloh bagi meninjau perkembangan program kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan (KKM) ini.
"Perkhidmatan yang dimulakan sejak Februari ini melibatkan sebanyak 63 orang pelanggan dari kalangan kakitangan hospital, pesakit dan waris-waris pesakit, yang melibatkan program kaunseling syarie, psikologi spiritual dan 'Ilaj Syarie," katanya.
Sementara itu, Jakim dalam hantaran Facebook hari ini memaklumkan Hospital Sungai Buloh dipilih sebagai hospital rintis bagi program tersebut.
"Matlamat lawatan menteri hari ini adalah bagi meninjau dengan lebih dekat serta mendapat maklumat perkembangan pelaksanaan perkhidmatan itu sepanjang tempoh pelaksanaannya.
"Apabila seseorang yang berada dalam keadaan ujian sakit, amalan-amalan kerohanian seperti zikir, bacaan al-Quran, doa dan lain-lain menjadi terapi kekuatan dalaman pesakit. Ia mampu membina daya tahan dan kekuatan dalaman seseorang dan mudah-mudahan ia juga menjadi salah satu asbab mendapat kesembuhan daripada Allah SWT," menurut hantaran itu.
Jakim juga menyatakan program penjagaan kendiri itu merupakan satu keupayaan individu untuk menjaga diri sendiri melalui aktiviti kesejahteraan fizikal, spiritual dan emosi.
"Usaha mengetengahkan pendekatan ini adalah sangat bertepatan dengan situasi semasa apabila ramai dalam kalangan masyarakat kita dan tidak terkecuali kakitangan hospital dan pesakit yang terkesan akibat COVID-19. Ramai yang menghadapi tekanan emosi bahkan tekanan mental," kata Jakim.
Jakim menyatakan bagi memperkukuh jalinan kerjasama tersebut, satu nota kerjasama akan dimeterai antara Jakim dan KKM pada 16 Ogos ini dan program itu akan diperluaskan ke hospital lain pada masa akan datang.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo