NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Larangan merokok tak langgar kebebasan peribadi


KUALA LUMPUR: Usaha Kementerian Kesihatan mewujudkan generasi 'bebas rokok' menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 wajar diberi sokongan jitu oleh semua Ahli Parlimen merentasi jurang politik.

Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (JKPM) dalam kenyataan hari ini, berkata Ahli Parlimen perlu menunjukkan kesungguhan politik yang berani dan semangat kenegarawan yang tinggi dalam membantu melaksanakan RUU itu bagi mencipta legasi kesihatan yang benar-benar berkesan serta berkekalan untuk negara.

Katanya, kebimbangan bahawa larangan tembakau bagi generasi yang lahir selepas 1 Januari 2007 iaitu Generasi Penamat (GEG) akan mencetuskan masalah berkaitan pelanggaran kebebasan peribadi kelak adalah tidak berasas.

"Penggunaan tembakau bukan seperti pengambilan makanan manis atau minuman beralkohol, justeru perbandingan itu tidak relevan. Selain itu, tidak ada tahap merokok yang selamat dan ia membahayakan alam sekitar serta orang yang tidak bersalah di sekitarnya.

"Justeru, JKPM menggesa semua Ahli Parlimen merebut peluang ini dan memastikan tempat mereka dalam sejarah dengan berani menyokong cadangan larangan tembakau GEG berperingkat ini. 

"Kerajaan juga perlu memastikan penguatkuasaan undang-undang yang tegas, adil, konsisten dan berterusan," kata kenyataan itu.

JKPM turut menekankan pelaksanaan undang-undang pencegahan itu dilihat tepat pada masanya dalam membawa perubahan dan memberi manfaat kepada generasi masa hadapan.

Semalam, Khairy memaklumkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang bertujuan mewujudkan GEG atau individu lahir 1 Januari 2007 dan seterusnya bebas merokok, tidak akan menjejaskan ekonomi negara.

Khairy berkata, berdasarkan kajian mendalam dijalankan pihaknya, industri tembakau hanya memberi kesan 0.18 peratus saja terhadap keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada 27 Julai lalu, beliau membentangkan RUU itu, yang melarang individu lahir pada 2007 dan seterusnya merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. – BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo