NOTIS:

Belum ada lagi....

Cadangan naikkan harga lantai getah sekerap akan dibincang dalam penyediaan Bajet 2023

0

Cadangan menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram akan dijadikan sebagai input dalam penyediaan Bajet 2023. - Gambar hiasan/BERNAMA

KUANTAN: Cadangan menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram akan dijadikan sebagai input dalam penyediaan Bajet 2023, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata pihaknya kini sedang melakukan sesi libat urus bagi mendengar keluhan masyarakat supaya dapat mewujudkan inisiatif dan insentif tepat untuk disalurkan kepada rakyat.
"Sudah pasti cadangan tersebut akan menjadi input dalaman untuk kita kaji bagi membina Bajet 2023 yang akan diumum pada hujung tahun ini. Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang disalurkan akan meningkat sekiranya harga lantai getah meningkat daripada RM2.50 sekilogram," katanya.
Mohd Shahar berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur dan Majlis Penyampaian Dividen Tanaman Semula Komersial (TSK) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) 2022 di Dewan Semai Bakti Felda Bukit Goh di sini hari ini.
Terdahulu, Pengerusi RISDA Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dalam ucapannya memohon kerajaan meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram.
Ia berikutan kebimbangannya terhadap pekebun getah yang akan bertukar kepada tanaman kelapa sawit sekiranya harga lantai getah sekerap tidak dinaikkan.
"Kalau kita tidak dapat tingkatkan, saya bimbang apa yang telah berlaku sekarang tanaman pekebun kecil getah bertukar kepada penanaman kelapa sawit.
"Pekebun getah rasa macam cemburu kepada penanam kelapa sawit yang boleh mencecah pendapatan RM1,400 hingga RM2,000 sebulan berbanding pekebun getah hanya RM1,200 dengan keluasan tanah yang sama," katanya.
Pada majlis berkenaan seramai 130 peserta bagi Januari hingga Jun 2022 menerima dividen TSK berjumlah RM961,957.37 dengan pembayaran melibatkan tiga projek iaitu TSK Nadak Seberang, TSK Orang Asli Bukit Bakong dan TSK Orang Asli Gedong Siam.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo