NOTIS:

Belum ada lagi....

Zurainah dilantik Pengerusi FINAS, Mohamad Salim Pengerusi Interim MCMC

0

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (kiri) menyerahkan surat lantikan sebagai Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kepada Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din di pejabatnya hari ini. BERNAMA





KUALA LUMPUR: Senator Datuk Seri Zurainah Musa dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa hari ini sehingga 9 Jun 2024.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, pelantikan Zurainah bagi menggantikan Zakaria Abdul Hamid yang tamat perkhidmatan pada 22 Mei lalu.

Katanya, ia selaras dengan Seksyen 4(1) Akta 244, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan 2013), bagi maksud melaksanakan fungsi seperti diperuntukkan di bawah akta berkenaan.

"Saya yakin pelantikan Senator Zurainah yang mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang boleh membawa nafas dan iltizam baharu, bagi membantu perkembangan industri perfileman dan kreatif di negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain Ahli Dewan Negara, Zurainah juga adalah Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Ahli Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad dan mengetuai Jabatan Hubungan Strategik Berjaya Corporation, serta menjadi pengarah kepada sejumlah anak syarikat Berjaya Assets Berhad.

Beliau juga adalah pengarah di dalam Kumpulan UZMA dan turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ahli Lembaga Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dan Penasihat Persatuan Ibu Tunggal, Warga Emas dan OKU (PRIMAS).

Annuar percaya pihak berkepentingan dalam industri perfileman dan kreatif juga, akan terus memberikan sokongan kepada pelbagai inisiatif dan usaha yang bakal diketengahkan oleh kerajaan melalui FINAS, yang bermatlamatkan untuk memberi manfaat serta kesejahteraan kepada Keluarga Malaysia di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Sementara itu, Annuar juga mengumumkan Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dilantik sebagai Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), bagi menggantikan Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek yang mengakhiri perkhidmatannya, semalam.

Annuar berkata pelantikan yang berkuat kuasa hari ini sehingga lantikan pengerusi baharu itu, adalah selaras dengan Akta SuruhanjayaKomunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Bahagian II, Seksyen 14 - Perjalanan sementara fungsi Pengerusi), di mana seorang Ahli Suruhanjaya boleh dilantik menjalankan tugas sebagai pengerusi apabila berlaku kekosongan jawatan.

Beliau turut yakin pelantikan Mohamad Salim akan membawa kesegaran dan suntikan baharu bagi membantu perkembangan industri telekomunikasi di negara ini.

"Mohamad Salim adalah Naib Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan sekarang turut berkhidmat sebagai Anggota Suruhanjaya kepada SKMM. Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB," katanya.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Gapurna Sdn Bhd itu juga pernah menjawat pelbagai jawatan penting dalam pelbagai industri, termasuk sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Giant Malaysia dan Pengerusi Bukan Eksekutif British American Tobacco (Malaysia) Berhad.

– BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo