NOTIS:

Belum ada lagi....

Zahid Hamidi akan bantu UKSB selepas terima wang - Saksi

0

Sebelum ini saksi pendakwaan ke-15, memberitahu mahkamah syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam Dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak VLN. - Gambar fail

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan membantu syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) selepas mendapat bantuan kewangan daripada mereka.
Bekas pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42, berkata sumbangan itu diterima Ahmad Zahid antara 2014 dan 2018.
Wan Shaharuddin: Berapa banyak wang yang anda berikan terhadap Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) setiap kali berjumpa dengan beliau?
Wan Quoris Shah: Saya tidak berapa ingat. Saya cuma boleh ingat beberapa kali. Yang saya bawa ketika itu lebih kurang Dolar Singapura 300,000.
Sebelum ini saksi pendakwaan ke-15, Harry Lee Vui Khun (Harry Lee) yang juga merupakan bekas pengarah UKSB memberitahu mahkamah bahawa, syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam Dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Sementara itu, semasa pemeriksaan balas, Wan Quoris Shah bersetuju dengan peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh bahawa UKSB tidak mampu untuk memberi sumbangan dana bertujuan rasuah atau hadiah berharga, berdasarkan keuntungan bersih dan wang dalam bank syarikat berkenaan dari 2014 ke 2018.
Hamidi berkata cadangan itu dibuat berikutan penyata kewangan syarikat berkenaan pada 2014 menunjukkan, UKSB hanya merekodkan keuntungan kira-kira RM625,000 dengan wang tunai RM1.5 juta dalam bank mereka.
"Pada 2015, UKSB ada keuntungan lebih kurang RM114,000 dengan wang tunai RM2.8 juta, manakala 2016, RM4.9 juta keuntungan dan wang tunai RM4.6 juta; RM12.8 juta keuntungan dan wang tunai RM9 juta pada 2017 dan pada 2018 RM351,000 keuntungan syarikat dengan wang tunai RM1.3 juta," katanya.
Dalam pada itu, Hamidi juga menyebut beberapa nama individu termasuk bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang tersenarai dalam buku lejar (buku faraid).
Buku faraid UKSB yang juga dikenali sebagai Buku 555 di dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid, adalah lejar yang mencatatkan bayaran yang dibuat oleh UKSB kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.
Saksi itu bersetuju dengan peguam bahawa terdapat pembayaran lebih RM15,000 dibuat oleh UKSB untuk menaiki helikopter pada 2015.
Hamidi: Bayaran itu untuk kamu dan Khairy naik helikopter?
Wan Quoris Shah: Ya, ketika berlaku bencana.
Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri, bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.
Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo