NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kekurangan bekalan ubat: Fasiliti kesihatan swasta kini boleh pinjam daripada fasiliti kerajaan - Khairy

Khairy Jamaluddin berkata, fasiliti kesihatan kerajaan boleh mempertimbang untuk meminjamkan bekalan ubat-ubatan untuk kegunaan ketika kecemasan, krisis dan bencana. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Fasiliti kesihatan swasta boleh memohon pinjaman bekalan ubat-ubatan dari fasiliti kesihatan swasta yang lain atau fasiliti kesihatan kerajaan yang terdekat.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, fasiliti kesihatan kerajaan boleh mempertimbangkan untuk meminjamkan bekalan ubat-ubatan untuk kegunaan ketika kecemasan, krisis dan bencana.
"Namun mereka (fasiliti kerajaan) perlu memastikan terlebih dahulu ketersediaan dan baki stok ubat-ubatan mencukupi untuk kegunaan aktiviti harian," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Khairy turut menambah, pesakit boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan terdekat untuk meneruskan rawatan sekiranya memerlukan rawatan segera.
Namun katanya, pesakit mungkin memerlukan perubahan rejim ubat-ubatan berdasarkan ketersediaan di fasiliti kerajaan yang dirujuk.
Pada masa yang sama beliau memaklumkan, pesakit boleh membeli ubat-ubatan tersebut dari farmasi komuniti dengan preskripsi dari klinik atau hospital swasta berkenaan.
"Dengan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap ia dapat memberi penyelesaian sementara terhadap isu kekurangan bekalan ubat-ubatan ke fasiliti kesihatan swasta agar kesinambungan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat dapat diteruskan," ujarnya.
Selain itu, Khairy memberitahu, KKM juga telah memulakan perkongsian maklumat senarai ubat-ubatan yang mengalami gangguan dan cadangan produk alternatif bagi ubat-ubatan tersebut dengan pihak pengamal perubatan swasta, hospital swasta dan farmasi komuniti.
Senarai itu katanya, akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan langkah itu adalah sebagai usaha mengurangkan impak kepada situasi semasa dan penggunaan secara optimum ubat-ubatan generik lain sebagai alternatif, yang masih mempunyai bekalan di pasaran.
"Pada masa yang sama, KKM sedang berusaha mencari penyelesaian jangka panjang dalam menangani isu ini dan pemantauan berterusan dibuat untuk memastikan ketersediaan ubat-ubatan di seluruh Malaysia," jelasnya.
Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata, isu kekurangan bekalan ubat-ubatan yang berlaku terutama di farmasi dan fasiliti kesihatan swasta tertentu ketika ini bukan disebabkan pembelian panik, sebaliknya, ekoran permintaan tinggi ubat-ubatan tertentu susulan penularan COVID-19 varian Omicron sebelum ini dan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Sumber | Astro Awani 





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo