NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

K-KOMM beri jaminan Sabah diberi keutamaan tinggi pembangunan telekomunikasi - Annuar

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (tiga kiri) diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (kanan) pada perasmian program Riuh Bah! - Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) memberi jaminan akan memberi keutamaan tinggi kepada Sabah dalam rancangan pembangunan telekomunikasi negara, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata pada masa ini, lebih RM1 bilion telah diperuntukkan bagi melaksana pelbagai program telekomunikasi terlibat sama ada di bawah program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Projek Point of Presence (PoP) serta pembekalan perkhidmatan jalur lebar di kawasan pedalaman Negeri di Bawah Bayu itu.
"Justeru, kementerian saya akan memastikan program-program di bawah K-KOMM serta agensi di bawahnya dan syarikat-syarikat termasuk telco yang sama-sama terlibat akan memberikan tumpuan sepenuhnya (terhadap pembangunan telekomunikasi).
"Ini jaminan saya kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) kita akan bekerja kuat dan memberikan keutamaan yang tinggi kepada negeri Sabah," katanya ketika berucap pada program RIUH Bah! Bersama Hotlink di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini malam ini.
Hadir sama Hajiji, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam, Ketua Setiausaha K-KOMM Datuk Seri Mohammad Mentek, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis merangkap Rakan Strategik Utama Riuh Bah! Gokhan Ogut dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin.
Sementara itu, Annuar berkata Sabah adalah negeri yang sangat kaya dengan kreativiti serta keupayaan untuk mengetengahkan pelbagai karya industri kreatif.
Oleh itu, katanya sektor industri kreatif di Sabah juga perlu diberi perhatian kerana masih banyak yang belum digali dan dicungkil untuk diketengahkan kerana terdapat potensi industri kreatif di negeri ini yang boleh membanggakan negara.
Malah, beliau berkata industri kreatif juga merupakan antara sektor ekonomi yang boleh menjadi penyumbang terbesar dalam memperbaiki semula tahap pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Annuar berkata pembukaan ibu kota Indonesia iaitu Nusantara juga mampu menjadikan Borneo sebagai pusat pertumbuhan industri kreatif baharu yang amat penting dan strategik di rantau ini.
"Justeru, kita tidak perlu menunggu sebaliknya mula merancang untuk menjadikan Sabah, Sarawak sebagai satu kawasan pertumbuhan baharu yang penting dalam negara kita," katanya sambil menyatakan RIUH Bah! seterusnya akan diadakan di Melaka.
Program RIUH Bah! Bersama Hotlink anjuran K-KOMM berlangsung di Sabah selama tiga hari bermula hari ini.
-- BERNAMA





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo