NOTIS:

Belum ada lagi....

COVID-19: Golongan kurang daya tahan imun sederhana, teruk dicadang terima dos ketiga - Khairy

0

Khairy berkata cadangan telah dibuat berdasarkan situasi semasa mengenai tahap keberkesanan vaksin dalam kalangan remaja yang berisiko tinggi. - Gambar fail/BERNAMA

PUTRAJAYA: Golongan kurang daya tahan imun sederhana hingga teruk berumur antara lima dan 11 tahun serta antara 12 dan 17 tahun dicadangkan menerima dos ketiga vaksin COVID-19 bagi melengkapkan vaksinasi primer tiga dos, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menerusi kenyataan hari ini berhubung keputusan yang dicadangkan Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) bagi vaksin COVID-19 itu, Khairy berkata prosedur atau mekanisme bagi pelaksanaan dos ketiga serta dos penggalak pertama bagi remaja akan dimuktamadkan dan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata cadangan telah dibuat berdasarkan situasi semasa mengenai tahap keberkesanan vaksin dalam kalangan remaja yang berisiko tinggi.
Menurutnya TWG mengesyorkan supaya dos penggalak bagi golongan kurang daya tahan imun sederhana hingga teruk berumur 12 dan 17 tahun dikategorikan semula sebagai dos ketiga dan menjadi pelengkap kepada vaksinasi primer.
"Hanya setelah melengkapkan vaksinasi primer tiga dos, barulah dos penggalak pertama boleh diberikan kepada golongan kurang daya tahan imun sederhana hingga teruk berumur antara 12 dan 17 tahun.
"Langkah ini bertujuan memberi perlindungan optimum kepada kumpulan remaja ini daripada risiko mendapat jangkitan COVID-19 dengan gejala yang teruk," katanya.
Pada 14 April, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan pemberian dos penggalak kepada golongan kurang daya tahan imun sederhana hingga teruk berumur 12 tahun dan ke atas.
Setakat semalam, kadar vaksinasi lengkap dos primer vaksin COVID-19 bagi golongan remaja adalah 93.5 peratus.
Bagaimanapun, kajian dari luar negara menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap kemasukan ke wad dalam kalangan remaja selepas lima hingga 10 bulan menerima dos kedua menurun sebanyak 42 hingga 73 peratus.
Khairy berkata pemberian dos tambahan sama ada untuk melengkapkan vaksinasi dos primer sebanyak tiga kali atau sebagai dos penggalak pertama dan kedua akan diberikan kepada individu yang disahkan kurang daya tahan imun sederhana hingga teruk oleh pakar perubatan kerajaan atau swasta.
KHAIRY-DOS KETIGA 3 (AKHIR) PUTRAJAYA
Beliau berkata dos tambahan kepada individu berumur antara lima dan 11 tahun akan diberikan sekurang-kurangnya lapan minggu selepas menerima dos kedua.
Bagi individu berusia antara 12 dan 17 tahun pula, beliau berkata golongan itu akan menerima dos tambahan sekurang-kurangnya 28 hari selepas menerima dos kedua.
Bagi pemberian dos penggalak pertama kepada individu berumur antara 12 dan 17 tahun yang berisiko tinggi dan telah lengkap menerima vaksinasi primer tiga dos pula, Khairy berkata golongan itu akan diberikan dos terbabit sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksinasi lengkap tiga dos primer.
Katanya dos penggalak kedua pula akan diberikan kepada individu berumur antara 18 dan 59 tahun termasuk petugas kesihatan barisan hadapan seperti pegawai perubatan serta jururawat yang berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 yang serius atau teruk.
"Golongan ini akan terima dos penggalak kedua sekurang-kurangnya enam bulan selepas menerima dos penggalak pertama dan selepas berbincang dengan mana-mana pengamal perubatan berdaftar," katanya.
Mengenai peluasan pemberian vaksin COVID-19 Convidecia CanSino Bio (CanSino) sebagai dos penggalak secara campuran kepada penerima vaksin lengkap tanpa mengira jenis vaksin dos primer, Khairy berkata golongan yang layak adalah individu berumur antara 18 tahun dan ke atas.
"Golongan ini adalah mereka yang telah menerima vaksin siri premier selain daripada CanSino dan Sinovac yang telah diluluskan iaitu sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima dos kedua," katanya.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo