NOTIS:

Belum ada lagi....

Tiada notifikasi cacar monyet di Malaysia

0

GAMBAR yang dirakam pada 1996 di Congo memaparkan tangan pesakit cacar monyet. - Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) belum menerima notifikasi berkenaan kes membabitkan individu yang dijangkiti virus cacar monyet (monkeypox), di negara ini.

Dalam satu kenyataan, KKM berkata, ini termasuk kes membabitkan kanak-kanak yang didakwa dijangkiti virus cacar monyet seperti dalam mesej berserta gambar yang ditularkan dalam media sosial.

"Sekiranya gambar itu benar, waris kepada kanak-kanak berkenaan dinasihati untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan," katanya menerusi entri di Facebook hari ini.

Orang ramai pula, katanya, dinasihati tidak menularkan berita yang tidak diketahui kesahihannya, sebaliknya menasihati pesakit atau waris yang didakwa dijangkiti itu untuk mendapatkan nasihat perubatan terlebih dahulu, jika berkaitan penyakit atau masalah kesihatan lain.

Ilustrasi tabung uji dengan tanda virus positif cacar monyet. - Foto REUTERS


Satu gambar kanak-kanak tular di media sosial hari ini yang dikaitkan kononnya kes dijangkiti virus cacar monyet di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini menjelaskan, risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia adalah rendah, kecuali jika seseorang individu itu ada sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti atau kontak langsung dengan pesakitnya.

Beliau berkata, kemungkinan transmisi jangkitan virus itu dari manusia ke manusia adalah terhad.

Media melaporkan wabak cacar monyet direkod di beberapa negara benua Eropah seperti United Kingdom (UK), Sepanyol, Portugal, Belgium, Perancis, Itali dan Jerman, selain Amerika Syarikat (AS), Kanada serta Australia.

Setakat semalam, lebih 100 kes dilaporkan sama ada yang disahkan mahupun disyaki, kebanyakan jangkitan tidak melaporkan sejarah perjalanan ke negara yang diketahui endemik penyakit itu. 

Laporan awal menyatakan sebahagian kes terbabit mendapat jangkitan melalui kontak langsung dengan pesakit cacar monyet.



Sumber | BH Online






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo