NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Seri Paduka berangkat menghadap Presiden UAE baharu di Dubai

Yang di-Pertuan Agong ketika berkenan berangkat menghadap Presiden UAE di Istana Mushrif di Abu Dhabi. - FOTO IHSAN FACEBOOK ISTANA NEGARA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menghadap Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Istana Mushrif di Abu Dhabi. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin yang turut mengiringi baginda berkata, keberangkatan tiba Seri Paduka kira-kira jam 12 tengah hari waktu tempatan, diterima Sheikh Mohamed.

"Dalam pertemuan secara bersemuka selama hampir satu jam ini, Seri Paduka berkenan menyampaikan titah salam takziah kepada Presiden dan Kerajaan UAE, seterusnya mengucapkan tahniah di atas pelantikan Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan sebagai Presiden dan Ketua Negara UAE yang baharu," katanya dalam kenyataan disiarkan di akaun Facebook rasmi Istana Negara.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian mantan Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, serta mendoakan semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah SWT serta ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. 

Katanya, Seri Paduka menyifatkan pemergian Sheikh Khalifa sebagai kehilangan besar kepada rakyat UAE serta negara Arab dan menzahirkan harapan supaya seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum; Pemerintah Fujarah, Sheikh Hamad bin Mohammed Al Sharqi dan Pemerintah Syarjah, Sheikh Sultan Al Mohamed Al Qasimi dan barisan menteri Kabinet UAE yang lain. 

Ahmad fadil berkata, Malaysia dan UAE mempunyai hubungan dua hala yang amat rapat dan mesra di pelbagai peringkat termasuk kedua-dua pemimpin dan sesama rakyat. 

Beliau berkata, Seri Paduka turut bertitah bahawa hubungan dua hala sedia ada terjalin antara kedua-dua negara akan terus dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

"Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Abu Dhabi ini adalah atas jemputan peribadi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan," katanya. 

Kata Ahmad Fadil, ketua-ketua negara yang lain turut hadir di Istana Mushrif hari ini bagi upacara menghadap Sheikh Mohamed dan memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sheikh Khalifa. – BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo