NOTIS:

Belum ada lagi....

Saksi tampil buat pengakuan sahkan prosedur sembelih tidak halal, jijik

0

ABDULLAH, saksi bekas pekerja rumah sembelihan di Australia mendedahkan salah laku dalam sidang akhbar melalui video anjuran Pekemas dan PPIM di Kuala Lumpur, semalam.

PETALING JAYA: Selepas pen­de­dahan Utusan Malaysia ber­hu­­bung status halal rumah pe­­­nyembelihan haiwan di Australia, bekas pekerja yang juga sumber utama tampil membuat penga­kuan dan menceritakan hal sebenar.

Sumber yang dikenali sebagai Abdullah mendakwa, rumah sembelihan itu tidak mematuhi protokol sah halal dan segala pro­sedur penyembelihan adalah jijik serta kotor.

Menurutnya, ia tidak seba­gai­mana yang sepatutnya ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Ma­laysia (Jakim) dan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA).

Apa yang mendukacitakan, dia yang muncul menerusi persidangan video dari Australia dalam sidang akhbar anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Per­tubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) mendakwa, kedua-dua agensi yang dipertanggungja­wab memantau rumah sembelihan itu tidak melaksanakan tu­gas dan bersikap sambil lewa dalam isu halal dan prosedur sembelihan.

“Bagaimana pada 14 April la­lu Jakim boleh mengeluarkan kenyataan akhbar yang menya­takan proses di pusat sembelihan berkenaan itu tidak me­lakukan sebarang pe­langgaran protokol halal me­ngikut SOP.

“Walhal sehingga pada hari saya dipecat iaitu pada Jumaat 22 April, perkara itu masih berlaku. Malah, hanya ada dua pe­gawai untuk menyembelih 6,500 ekor kambing, sedangkan ia se­patutnya ada empat orang.

“Semua kambing itu dilemaskan dalam darah binatang yang disembelih sebelum itu seperti berlaku awal Januari lalu atau mungkin lebih awal da­ri itu. Persoalannya, adakah ini SOP baharu Jakim? Lemaskan kambing yang baru disembelih walaupun belum mati lagi,” katanya.

Laporan Utusan Malaysia 14 April lalu mendedahkan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport da­ging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembeli­han didakwa tidak mengikut syari­at Islam.

Susulan itu, Jakim dalam satu kenya­taan berkata, pi­haknya telah meminta penjelasan daripada SICHMA dan menerima maklum balas daripada agensi berkenaan serta mendapat makluman Pegawai Atase Halal Jakim di Canberra selepas menjalankan audit berkala terhadap rumah sembelihan berkenaan.

Bagaimanapun, kenyataan Jakim menimbulkan keraguan selepas timbul pelbagai pendedahan termasuk bekas pekerja serta rakaman video yang menunjukkan haiwan ternakan tersebut disembelih tidak mengikut syarak.

Abdullah berkata, selepas pen­dedahan isu ini menerusi media di Malaysia, pihak syarikat mengesyaki dia adalah ‘dalangnya’ yang membocorkan segala rakaman video dan gambar sebagai bukti salah laku sekali gus mengambil tindakan memecat serta-merta.

Tambah Abdullah, walaupun berdepan dengan ugutan dan ancaman keselamatan terhadap diri dan keluarga­nya, dia bertekad membongkar kegia­tan itu demi kemaslahatan umat Islam yang sekian lama memakan daging haram.

Abdullah yang juga imam masjid dan seorang guru agama di Australia tidak sanggup lagi melihat semua binatang ‘dilayan’ secara kejam sebelum disembelih.

Dia sambil bersumpah memegang al-Quran membuat pe­ngakuan berhubung perkara terbabit.

“Ada kambing mati digigit haiwan liar seperti anjing yang berkeliaran di kawasan rumah penyembelihan itu sebelum sempat disembelih. Jadi status halal itu meragukan.

“Apatah lagi pekerja di pusat sembelihan terbabit yang menjadi pemantau halal juga tidak mengamalkan ajaran Islam se­bagaimana dituntut syarak. Tidak solat, tidak berpuasa dan minum arak. Malah ada yang tidak tahu pun nak menyebut perkataan Allahuakbar.

“Jadi bagaimana mereka bo­leh sembelih binatang yang di­ja­dikan makanan untuk orang Islam,” soal beliau.

Abdullah berkali-kali membangkitkan pelanggaran protokol halal sepanjang dia be­ker­ja kepada pihak SICHMA dan Jakim namun, mereka seolah-olah tidak ambil peduli.

Jelasnya, pemantauan audit halal hanya dilakukan enam bulan sekali dan pihak syarikat rumah penyembelihan itu biasanya diberitahu lebih awal sebelum pemeriksaan dibuat.

Justeru, dia meminta pihak berkuasa Malaysia dan Austra­lia mengambil tindakan drastik membuat pemeriksaan bebas tanpa campur tangan orang dalaman dan meneliti segala bukti yang didedahkan adakah ia menepati semua protokol halal atau sebaliknya. – UTUSAN






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo