NOTIS:

Belum ada lagi....

Saifuddin bariskan bekas sekutu Azmin lawan team Rafizi

Saifuddin Nasution Ismail, yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR, mengumumkan barisan calonnya untuk pemilihan parti malam tadi, yang sebahagiannya terdiri daripada pemimpin yang sebelum ini sehaluan dengan bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali.

Para pemimpin ini diketepikan dalam PKR walaupun mereka tidak mengikut jejak Azmin apabila dia merancang kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan berpaling tadah kepada Bersatu.

Beberapa pemimpin yang dibariskan Saifuddin, sebahagiannya pernah bersama pasukan Azmin semasa pemilihan PKR pada 2018.

Tokoh utama ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, penyokong setia Azmin yang diketepikan selepas Sheraton Move.

Pemimpin lain yang menjadi sebahagian daripada pasukan Azmin pada 2018 termasuk Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar, yang kemudian bertukar kem menentang Azmin selepas pemilihan PKR itu.

Saifuddin berkata dia menekankan keterangkuman politik yang telah lama bertapak dalam PKR untuk melibatkan semua pihak dalam parti

"Tetapi saya nak tegaskan ini adalah pertarungan keluarga, yang tak boleh mencarik persahabatan, atau tidak boleh meruntuhkan setiakawan," kata Saifuddin, semalam.

Dia telah meletakkan dirinya sebagai pemimpin pendamai berbanding pesaingnya Rafizi Ramli yang dikatakan mengambil pendekatan yang lebih agresif.

"Saya sebut garis-garis itu... maknanya saya tetap meraikan, dan mengiktiraf Rafizi (sebagai) sahabat saya.

“Dia mempunyai banyak kualiti, dan saya yakin pemilihan ini tidak akan mengulangi episod lepas.

"Maknanya bukan orang kata menang jadi abu, kalah jadi arang, tidak.

“Jadi semangat itu yang saya yakin akan membezakan pemilihan kali ini," kata Saifuddin lagi.

Pelancaran pasukan Saifuddin bertemakan "Kita Semua Keadilan" diadakan susulan majlis rumah terbuka Hari Raya di Petaling Jaya semalam.

Walaupun Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak hadir pada acara pelancaran rasmi, dia hadir di majlis rumah terbuka itu.

Anwar tidak menyokong mana-mana calon secara terbuka tetapi Saifuddin dilihat sebagai orang kuat Anwar manakala Rafizi mengkritik presiden parti itu.

Tian Chua, yang juga sebahagian daripada pasukan Azmins pada 2018, hadir pada majlis pengumuman pasukan kepimpinan yang diterajui Saifuddin.

Tian Chua tidak bertanding dalam pemilihan parti akan datang.

Selain bekas sekutu Azmin, pasukan Saifuddin juga terdiri daripada pelbagai personaliti lain.

Mereka termasuk Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abd Hamid, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai, Senator Fadhlina Sidek dan bekas aktivis siswa Adam Adli Abd Halim.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo