NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia rendah - Dr Noor Hisham

(Gambar fail) Kesan pada tapak tangan pesakit cacar monyet. - FOTO REUTERS

PUTRAJAYA: Risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia adalah rendah, kecuali jika seseorang individu itu ada sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti atau kontak langsung dengan pesakitnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kemungkinan transmisi jangkitan virus itu dari manusia ke manusia adalah terhad.

"Cacar monyet adalah disebabkan oleh jangkitan orthopoxviruses. Virus ini ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti. Virus ini juga boleh disebarkan melalui titisan sekresi pernafasan.

"Virus cacar monyet juga boleh menular melalui kontak langsung dengan cecair daripada ruam makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.

"Tempoh inkubasi biasanya ialah antara enam hingga 21 hari, dan akan mengalami gejala selama dua hingga empat minggu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Sebelum ini, media melaporkan wabak cacar monyet menular di beberapa negara benua Eropah meliputi United Kingdom, Sepanyol, Portugal, Belgium, Perancis, Itali dan Jerman, selain Amerika Syarikat, Kanada serta Australia.

Setakat semalam, lebih 100 kes dilaporkan sama ada yang disahkan mahupun disyaki. Kebanyakan kes jangkitan tidak melaporkan sejarah perjalanan ke negara yang diketahui endemik penyakit itu. Laporan awal menyatakan sebahagian kes terbabit mendapat jangkitan melalui kontak langsung dengan pesakit cacar monyet. 

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, gejala jangkitannya mirip cacar (smallpox) membabitkan demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka sebelum merebak ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti bahagian tubuh yang lain.

"Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan bengkak kelenjar limfa.

"Kanak-kanak dan individu yang memiliki tahap imuniti rendah (immune deficiency), mempunyai risiko dengan gejala lebih serius dan boleh menyebabkan kematian. Kadar kematian di negara endemik cacar monyet dianggarkan sebanyak tiga hingga enam peratus," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan penularan cacar monyet, melalui laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melakukan pemantauan kes disyaki virus berkenaan di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Beliau berkata, pengembara ke kawasan yang terdapat penularan virus itu seperti Afrika Tengah dan Afrika Barat serta negara sedang dilanda wabak berkenaan pula dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga.

"Kekalkan kebersihan diri yang tinggi, termasuk mencuci tangan dengan kerap selepas pergi ke tandas atau apabila tangan kotor; elak sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti, sama ada manusia mahupun haiwan, serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh kes, seperti pakaian kotor yang digunakan orang dijangkiti; dan elak bersentuhan dengan haiwan liar atau memakan dagingnya.

"Pengembara yang tiba di Malaysia dari kawasan yang terdapat jangkitan cacar monyet dan mengalami gejala penyakit itu dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan kawasan berkenaan, dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

"Maklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan berkenaan, elak kontak langsung dengan individu lain, serta lakukan pengasingan diri sekurang-kurang 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya," katanya.

Ketika ini, beliau berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) mempunyai kapasiti untuk menjalankan ujian pengesanan virus penyebab cacar monyet dalam kalangan manusia.

"Makmal Kesihatan Awam Veterinar serta makmal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) juga mempunyai kemampuan makmal untuk menjalankan pengujian mengesan orthopoxviruses dalam kalangan haiwan.

"KKM sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta PERHILITAN untuk memantau cacar monyet dalam kalangan haiwan liar, termasuk yang diimport dari Afrika dan Eropah.

"Kita menyeru orang ramai segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala jangkitan cacar monyet supaya tindakan pengasingan dapat segera dilakukan serta pengesanan dan kuarantin kontak dapat dilaksanakan bagi mengekang penularannya.

"Semoga tindakan awal semua pihak dapat mengelakkan kemasukan virus cacar monyet ke dalam negara ini," katanya.


Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo