NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

310 bakal jemaah haji dari Melaka antara kumpulan pertama


MELAKA: Seramai 310 bakal jemaah haji dari Melaka antara kumpulan pertama yang berangkat ke tanah suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu pada 4 Jun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata jumlah itu adalah antara 410 kuota yang diberikan kepada jemaah di negeri ini namun jumlah itu dijangka bertambah sehingga 500 orang.

"Setelah dua tahun tertangguh akibat pandemik COVID-19, sudah tentu jemaah haji yang terpilih telah bersiap sedia sepenuhnya melakukan persiapan untuk menjadi Dhuyufurrahman.

"Justeru saya ingin menasihatkan kepada jemaah supaya menjaga kesihatan dalam tempoh waktu ini dan dalam situasi wabak yang masih belum pulih, kebersihan diri juga perlu diutamakan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Musim Haji 1443 Hijrah di Masjid Cina Krubong yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Sulaiman turut menasihatkan semua jemaah untuk terus mengekalkan disiplin diri semasa berada di tanah suci dan menjaga nama baik Malaysia serta Melaka.

"Ibadat haji adalah perjalanan rohani yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan tentang ibadat haji yang jelas dan diharapkan mereka semua mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya. Saya juga mendoakan semua jemaah mendapat haji yang mabrur," katanya. – BERNAMA







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo