NOTIS:

Belum ada lagi....

Projek TAPS bernilai RM 1.3 bilion selesaikan masalah air Kelantan

0

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek berkenaan membabitkan tiga komponen iaitu TAPS, Loji Rawatan Air (LRA) dan juga pemasangan paip di kawasan tanah telah digazetkan seluas kira-kira 404.6 hektar. - Gambar fail

KOTA BHARU: Projek pembinaan sebuah takungan air atau dikenali sebagai Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bernilai RM1.3 bilion di Machang, dekat sini, bakal menyelesaikan masalah air di Kelantan.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek berkenaan membabitkan tiga komponen iaitu TAPS, Loji Rawatan Air (LRA) dan juga pemasangan paip di kawasan tanah telah digazetkan seluas kira-kira 404.6 hektar.
Beliau berkata, projek TAPS bukan sahaja bakal berperanan sebagai tempat takungan air yang mampu membekalkan sebanyak 500 juta liter sehari (JLH), malah ia sekali gus dapat mengurangkan masalah banjir di Kelantan.
"Setakat ini pelaksanaan projek ini berada dalam proses kajian, dan kita menjangkakan ia akan bermula pada tahun ini dan ambil masa sekitar tempoh dua hingga tiga tahun untuk siap sepenuhnya.
"Malah, mengikut (kajian) secara keseluruhan penggunaan air di Kelantan adalah 500 JLH sahaja, jadi dengan adanya projek ini nanti yang membekalkan sebanyak 500 JLH ia mampu menyelesaikan masalah utama dihadapi di Kelantan," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Tuan Ibrahim berkata, TAPS adalah antara projek terbesar di Kelantan yang akan menyelesaikan masalah air dalam tempoh jangka panjang.
Menurut beliau, projek tersebut mengambil sumber air dari Sungai Kelantan yang akan ditakungkan terlebih dahulu sebelum dibekalkan kepada loji-loji sedia ada termasuk loji-loji baharu dibangunkan.
"Kita akan ambil sumber air dari Sungai Kelantan untuk membuat takungan dahulu sebelum melakukan proses pemendapan supaya kos rawatan di loji juga lebih murah.
"Dengan adanya TAPS ini serta loji-loji sedia ada dan bakal dibangunkan selepas ini insya-Allah masalah air di Kelantan dapat diselesaikan," katanya.
Semalam media melaporkan, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, TAPS telah mendapat persetujuan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebagai projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). - BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo