NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Penyatuan ummah lebih besar daripada kerjasama politik'


KUALA LUMPUR:
PAS kekal berpendirian bahawa penyatuan ummah adalah lebih besar daripada penyatuan politik kepartian atau kerjasama politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu melihat keperluan untuk penyatuan dalam kerangka yang ditandatangani menerusi piagam Muafakat Nasional (MN).

"Elok kalau dibaca dan dihayati semula apa yang telah disepakati, waktu itu PAS dan UMNO merasai adanya ancaman kepada masa depan Melayu Islam dan kita berhimpun menentangnya," katanya kepada BH hari ini.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, dalam konteks politik kepartian, setiap pihak boleh membuat apa yang difikir sesuai untuk partinya dan keadaan ini tentu berbeza antara satu kawasan, negeri berbanding lain.

"Selangor, Perak kelihatan berbeza dengan sikap Presiden UMNO , bagaimana pula Pulau Pinang. Apakah sekadar menang sorak, kampung tergadai," katanya.

Tambah beliau, PAS yakin setiap parti mempunyai hala tuju dan strategi masing-masing menjelang PRU akan datang

"Pelbagai andaian juga akan muncul. Kita masih terbuka untuk melihat perkara ini dengan lebih serius.

"Buat masa ini PAS sebahagian komponen Perikatan Nasional (PN) dan akan meneruskan agenda menggesa penyatuan ummah diteruskan.

"Kami yakin cabaran Barisan Nasional ialah PN berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang memberi bayangan mustahil untuk gagasan MN diteruskan jika PAS terus memperlihat sikap 'talam dua muka'.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, UMNO mahu rakan yang setia dalam MN bukan sahaja berdasarkan daripada kenyataan-kenyataan dikeluarkan tetapi menerusi tindakan dan keputusan yang dibuat oleh parti terbabit.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo