NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemansuhan AP boleh hapus aktiviti kartel - Pakar ekonomi

(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/ ASWADI ALIAS

KUALA LUMPUR: Pemansuhan permit import (AP) bagi bahan makanan, secara tidak langsung akan dapat menghapuskan aktiviti kartel di Malaysia, kata pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku seolah-olah lambakan penawaran dalam pasaran, namun itu bukan sesuatu yang negatif memandangkan ia sememangnya apa yang diperlukan bagi menampung permintaan pengguna.

"Inilah yang diperlukan dalam pasaran hari ini bagi mengelakkan peniaga-peniaga yang menggunakan pasar borong ataupun rantaian pembekal, memanipulasi harga disebabkan mereka mempunyai kuasa monopoli kerana beroperasi dalam kartel. Jadi, ini sebenarnya satu cara untuk menghapuskan aktiviti kartel di Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama.

Barjoyai berkata, keputusan kerajaan memansuhkan AP bahan makanan adalah satu langkah strategik dalam jangka pendek, namun ia perlu disusuli dengan langkah lebih konkrit dalam jangka panjang dan sederhana.

Beliau berkata, ini kerana kesan daripada aktiviti pengimportan boleh menyebabkan penyusutan nilai ringgit yang pada akhirnya akan mengakibatkan peningkatan semula harga barang.

Bagi mengatasi masalah itu, katanya, antara inisiatif yang boleh diambil kerajaan ialah melaksanakan program penggantian import.

"Kita perlu segera memulakan projek perintis, misalnya menanam sayur. Kita boleh menggalakkan penggunaan ayam kampung kerana ia juga tidak memerlukan pengimportan barang makanan misalnya.

"Untuk jangka panjang, kita perlu menekankan konsep keselamatan makanan. Kita perlu mempunyai matlamat untuk mempunyai industri pertanian yang membekalkan barangan makanan mencukupi bagi keperluan asas seperti beras, minyak masak, sayur-sayuran, buah-buahan dan protein.

"Jika ini dapat dilakukan, dalam jangka panjang, kita akan dapat menyelesaikan masalah ini kerana kebanyakan tekanan harga kini adalah terhadap barang makanan asas," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini mengumumkan kerajaan memansuhkan keperluan AP bagi bahan makanan secara serta-merta bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed, berkata langkah kerajaan menghapuskan AP terbabit bertepatan dengan situasi semasa.

Selain dapat membantu mempermudahkan pengimportan barang ke dalam negara dan mengurangkan monopoli, beliau berkata, ia juga mempertingkatkan peluang untuk rakyat Malaysia memulakan perniagaan.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan juga perlu melaksanakan dasar drastik untuk mengurangkan secara signifikan pengimportan barangan dari luar negara.

"Selagi kita masih bergantung pada barangan import, selagi itu masalah tidak selesai sekiranya krisis makanan pada peringkat global berlaku. Saya bagi contoh gandum, ada negara yang meningkat lebih 40 peratus pengimportan gandum. Disebabkan India menghentikan pengeksportan gandum, banyak negara yang bergantung pada India telah pergi ke negara lain seperti Australia yang Malaysia dapatkan bekalan.

"Yang kedua, nilai mata wang negara ketika ini berada dalam keadaan lemah. Justeru, kecenderungan untuk harga gandum naik dengan signifikan adalah amat berpotensi. Berikutan kita import dari luar negara, sebab itulah situasi ini berlaku. Jadi, semua barang yang membabitkan tepung gandum akan naik harga sebab harga gandum naik," katanya.

Justeru, beliau berkata, antara inisiatif segera yang boleh dilakukan kerajaan ialah menggalakkan rakyat menanam pelbagai jenis sayur-sayuran secara besar-besaran yang boleh mendatangkan hasil dalam masa singkat.

"Apabila berlaku krisis makanan yang meruncing, maka stok barangan makanan di Malaysia sekurang-kurangnya ada sayur berkenaan," katanya. – BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo