NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parti tempatan perlu lebih dominan di peringkat negeri


KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) senada dengan rakan seperjuangan Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) bahawa parti tempatan seharusnya mengetuai pemerintahan di peringkat negeri.

Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, tidak menjadi masalah untuk parti tempatan bekerjasama dengan parti nasional namun, parti yang lebih dominan di peringkat negeri seharusnya parti tempatan.

Baru-baru ini, Naib Presiden PBB, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyatakan kawalan parti nasional di Sabah menghalang usaha negeri di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) bekerjasama bagi menuntut hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya setuju dengan dia (Abdul Karim) tapi saya harap keadaan akan berubah. Namun, kita sedia bekerjasama dan kita ambil maklum pandangan mereka (Sarawak).

“Saya rasa tiada masalah untuk bekerjasama kerana ia boleh dibuat menerusi wakil rakyat di Parlimen.

“Tapi di peringkat negeri, kita mahu memastikan parti dominan adalah parti tempatan,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Kongres Taman Asia Kedua, semalam.

Menurut beliau, Sabah sedia bekerjasama dengan rakan seperjuangan di Sarawak bagi meneruskan tuntutan di bawah MA63.

Abdul Karim berkata, apabila pentadbiran Sabah dikuasai parti bukan tempatan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO maka, apabila perlu membuat keputusan penting atau perkara besar seperti MA63, pemimpin Sabah akan merujuk kepada ‘bos besar’ di Semenanjung Malaysia.

Di Sabah pembentukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut melihat penyertaan parti nasional iaitu Bersatu dan rakan kerjasama mereka iaitu BN. Namun di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya disertai parti tempatan iaitu PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) , Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif.- UTUSAN






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo