NOTIS:

Belum ada lagi....

Mengapa Malaysia sambut Aidilfitri lebih awal?

0


1 Syawal diisytiharkan pada hari ini kerana satu daripada 29 lokasi cerapan anak bulan telah mengesahkan kenampakan anak bulan Syawal, kata Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah.

Katanya, cuaca cerah semalam serta tiada sebarang halangan telah membolehkan anak bulan dapat kelihatan.

"Pada kali ini agak berlainan daripada kebiasaan sebenarnya kerana salah satu lokasi daripada 29 lokasi yang diwartakan untuk mencerap anak bulan telah melaporkan kenampakan anak bulan.

"Jadi dengan kenampakan anak bulan tersebut, maka Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah isytiharkan 2 Mei esok adalah 1 Syawal, bererti ia tidak selaras dengan apa yang telah dijangkakan sebenarnya,” katanya yang dipetik oleh portal Astro Awani.

Untuk rekod, hari Aidilfitri ditentukan dengan melihat anak bulan pertama. Ia dikendalikan oleh jawatankuasa melihat bulan negeri-negeri atau 'rukyah' yang diketuai oleh mufti masing-masing.

Ini dilakukan pada hari ke-29 Ramadan selepas matahari terbenam.

Malaysia menerima pakai tarikh 1 Syawal mengikut Rukyah dengan 3 darjah menegak dan 6.4 darjah melengkung.

"Berasas kepada kriteria tersebut, maka dari segi kiraan anak bulan, agak sukar untuk ia dilihat tetapi kemungkinan tetap ada.

"Jadi, apa yang belaku pada hari ini, kemungkinan itu telah menampakkan kepada kita bahawasanya bila langit cerah dan tiada sebarang halangan untuk mencerap, maka anak bulan boleh dilihat walaupun dari segi kriteria ia tidak mungkin.

"Jadi, dengan umur anak bulan 15 jam lebih itu, ia sebenarnya telah memberi satu kemungkinan untuk berlaku kenampakan anak bulan walaupun kriteria tidak menyokong tentang data itu," katanya.

Selain Malaysia, Indonesia dan Brunei semuanya mengisytiharkan hari ini (2 Mei) sebagai hari pertama Syawal, manakala Singapura - yang menggunakan kriteria yang sama - kekal pada 3 Mei seperti diramalkan kerana pihak berkuasa Islam mereka tidak melihat anak bulan.

Pejabat Mufti Singapura, dalam satu kenyataan, menjelaskan bahawa tarikh permulaan kalendar Islam yang berbeza untuk pelbagai negara adalah perkara biasa.

Katanya, di Brunei, Malaysia dan Indonesia, anak bulan hanya boleh dilihat di lokasi cerapan tertentu sahaja.

"Keputusan individu mereka adalah sah mengikut konteks masing-masing," katanya.

Selain Singapura, Bangladesh, India, dan Pakistan adalah antara negara yang bakal menyambut Aidilfitri pada esok iaitu 3 Mei ini.

Mufti Singapura Nazirudin Mohd Nasir menjelaskan semalam bahawa berdasarkan "hisab", anak bulan tidak mungkin akan kelihatan di ufuk Singapura apabila matahari terbenam semalam.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo