NOTIS:

Belum ada lagi....

Kerajaan perlu tingkatkan persediaan menghadapi inflasi

0


SAYA merujuk kepada beberapa berita di media yang memetik kenyataan ahli akademik yang menjangkakan tekanan inflasi dan kos sara hidup yang semakin meruncing dalam tempoh terdekat. Hakikatnya, seluruh dunia menghadapi kadar inflasi semakin tinggi akibat peningkatan permintaan barangan dan perkhidmatan secara mendadak sejak ekonomi global dibuka semula kerana pandemik COVID-19.

Kita juga dikhabarkan bahawa banyak negara telah melakukan sekatan eksport barangan keperluan dan seterusnya menjejaskan rantaian bekalan global. Kerajaan India baru-baru ini sebagai contohnya, telah memberi larangan pengeksportan gandum ke luar negara atas dasar memenuhi keperluan domestik dahulu. Situasi ini dikhuatiri akan memberi kesan kepada harga gandum di negara kita dalam masa akan datang. Keadaan menjadi lebih teruk dengan tercetusnya konflik antara Russia dengan Ukraine yang masih berterusan dan akan memburukkan lagi rantaian bekalan global.

Saya ingin memberi contoh, francais perniagaan terkenal, Eco-Shop yang menjual pelbagai barangan rumah dengan harga RM2.20 sebelum ini terpaksa menaikkannya kepada RM2.40. Pengurusan syarikat berkenaan memaklumkan bahawa kenaikan itu terpaksa dibuat disebabkan faktor peningkatan kos yang perlu ditanggung mereka. Selain itu, harga bahan keperluan seperti ayam dan sayur-sayuran juga meningkat. Sebelum ini, harga ayam diletakkan pada paras di antara RM5.00 sehingga RM7.00 sekilo namun pada waktu ini sudah ada laporan bahawa harga ayam sudah mencecah RM12.00 sekilo. 

Saya ingin mencadangkan supaya kerajaan mempertingkatkan pemantauan harga-harga barang keperluan di pasaran seluruh negara. Pada waktu ini, fenomena kenaikan harga barang dilihat sangat meluas dan memerlukan tindakan drastik supaya tiada pihak menangguk di air keruh dengan mengambil kesempatan bagi menaikkan harga sesuka hati. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menggiatkan peranan Pegawai Pemantau Harga di seluruh negara secara intensif agar tujuan pemantauan tercapai.

Saya juga berharap KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu melaksanakan usaha mengoptimumkan pemasaran barangan keperluan dan makanan keluaran tempatan bagi memastikan tahap kebergantungan terhadap barangan import berkurangan. Pada waktu ini, saya percaya kualiti dan kuantiti barangan tempatan sudah mampu memenuhi permintaan tempatan, yang tinggal hanya sokongan dan bantuan dari pihak Kerajaan untuk merealisasikan usaha ini.

Saya juga berharap agar rakyat berhemah dalam membuat perbelanjaan harian dan mengamalkan melakukan simpanan peribadi agar bersiap sedia menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu. Kita sama-sama berusaha dan seterusnya berdoa kepada Allah Taala agar segala ujian dan dugaan yang wujud pada waktu mencabar ini dapat dilalui oleh rakyat Malaysia dengan tabah.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR DATO’ HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY21/5/2022




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo