NOTIS:

Belum ada lagi....

Kerajaan NS beri insentif kepada Tabah NSEA

0

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) dan Mohamad Taufek (enam dari kanan) pada majlis meraikan kejayaan skuad Tabah-NSEA yang meraih pingat gangsa di Sukan SEA 2021 di Hanoi. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil.

SEREMBAN: Kejayaan skuad Tabah-NSEA meraih pingat gangsa dalam acara PUBG berpasukan pada temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi yang menutup tirainya Ahad lalu, mendapat penghargaaan kerajaan Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM7,000 membabitkan RM5,000 daripada Pusat Pembangunan Belia Harapan (Tabah) dan RM2,000 daripada Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNNS).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, pihaknya melahirkan rasa bangga terhadap skuad berkenaan yang berjaya membawa balik pingat walaupun julung kali bertanding pada temasya terbabit.

"Skuad ini ditaja kerajaan negeri berjaya mempamerkan semangat juang yang tinggi walaupun kali pertama bersaing di pentas Sukan SEA.

"Malah, pada pentas penentuan pingat itu, skuad ini ketinggalan selepas 13 pusingan tetapi bangkit pada dua pusingan terakhir untuk mengutip mata terbaik sekali gus berjaya mengatasi Myanmar untuk merangkul pingat gangsa.

"Walaupun pada peringkat awal, mereka ini tidak menaruh harapan yang tinggi tetapi akhirnya mereka dapat membuktikan prestasi yang baik untuk membantu kontinjen negara," katanya pada majlis meraikan mereka di Kompleks Majlis Bandaraya Seremban di sini, hari ini.

Mohamad Taufek berkata, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM150,000 termasuk RM50,000 dari Tabah tahun ini bagi menyediakan persiapan terbaik menghadapi Sukan SEA 2021.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA), Muhammad Faries Faizal mengakui akui cabaran di Hanoi adalah sangat tinggi.

"Bagaimanapun cabaran itu berjaya diharungi dengan baik dan kelima-lima atlet yang bertanding menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang pertandingan. Walaupun sekadar meraih gangsa tapi ia amat berharga dan kami puas hati dapat menyumbang pingat buat kontinjen negara biarpun penyertaan kali pertama," katanya.


Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo