NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan turun 15%


KUALA LUMPUR:
Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 15% pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-17, yang bermula dari 24 hingga 30 April 2022 berbanding ME ke-16.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 20% dari ME pertama sehingga ME ke-17.

“Jumlah kemasukan pesakit kategori satu dan dua ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk pada ME ke-17 berbanding ME ke-16 menurun sebanyak 33 peratus manakala untuk kategori tiga, empat, dan lima adalah tiada perbezaan.

“Peratus pengisian katil bukan kritikal fasiliti Covid-19 menurun sebanyak 22 peratus pada ME ke-17 berbanding ME-16, dengan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak 8%.

“Bagi katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) menurun sebanyak 75% dan jumlah kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun sebanyak 11% setakat ME ke-17,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata kes-kes positif Covid-19 masih dipantau melalui Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara, dengan bilangan kedatangan pesakit ke pusat itu telah menurun sebanyak 37.1% antara ME ke-16 dan ME-17.

“Bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 34.7% manakala bilangan kes dirujuk CAC ke PKRC atau hospital telah menurun sebanyak 33.8%,” katanya.

Katanya kumulatif kes baharu adalah sebanyak 4,448,004 kes dengan kes aktif sebanyak 45,506 kes dicatat setakat 30 April, dengan kumulatif kes sembuh sebanyak 4,366,951 kes dan kes kematian sebanyak 35,547 kes.

“Kumulatif kes kluster setakat ini ialah sebanyak 7,010 dengan kluster aktif sebanyak 84 kluster dilaporkan setakat 30 April,” katanya.

Hisham berkata bilangan kes sembuh pada ME ke-17 ialah 56,352 kes berbanding 72,128 kes pada ME ke-16 iaitu menurun sebanyak 21.9% manakala kes baharu pada ME ke-17 pula ialah 20,937 kes berbanding 44,665 kes pada ME ke-16, menurun sebanyak 53.1%.

Katanya bilangan kes tempatan dalam tempoh berkenaan pula menurun sebanyak 52.8% iaitu dari 44,193 kes kepada 20,876 kes, bilangan kes import menurun sebanyak 87.1% iaitu 472 kes kepada 61 kes serta bilangan kes kematian menurun sebanyak 31.7% iaitu 82 kes kepada 56 kes.

“Bilangan kes aktif pada ME ke-17 berbanding ME ke-16 menurun sebanyak 35.3% iaitu daripada 637,626 kes kepada 412,555 kes, serta purata nilai RT menurun sebanyak 15.7% pada tempoh yang sama,” katanya.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo