Enam pelanggan di sebuah kedai Tomyam di Bukit Baru, Melaka dilaporkan cedera apabila dirempuh sebuah Perodua Kancil yang dipandu oleh seorang lelaki warga emas.

Dalam insiden yang berlaku pada Khamis (6 Mei) sekitar jam 7.15 malam itu, kesemua mangsa yang cedera berumur dari setahun hingga 56 tahun telah dihantar ke zon hijau Hospital Melaka.

Kenderaan hilang kawalan sebelum merempuh restoran

Menerusi laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit memaklukan, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu oleh lelaki warga emas itu hilang kawalan lalu merempuh restoran terbabit.

“Pemandu berusia 66 tahun itu juga merupakan pelanggan restoran. Selepas menjamu selera dia pergi ke keretanya yang diletakkan di hadapan pintu gerbang premis.

Tertekan pedal minyak

“Selepas menghidupkan enjin kereta warga emas itu mendakwa dia tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaanya merempuh tembok dinding dan masuk ke dalam restoran tersebut,” jelasnya.

Bagaimanapun, warga emas itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Menurut laporan Harian Metro, kes akan disiasat mengikut Rule LN 166/58.

“Selain rakaman litar tertutup (CCTV) di premis itu terdapat juga saksi bebas yang tampil membantu siasatan,” kata Christopher Patit.