NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Amzad Syor polis siasat individu palsukan dokumen PASLeak


KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat individu yang memalsu dan menyebarkan dokumen PASLeak.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, tiada sebarang mesyuarat dan perbincangan terutama membabitkan cadangan mempercepatkan proses memenjarakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, individu yang memalsu dan menyebarkan dokumen itu dianggap cubaan menggagalkan agenda perpaduan dibawa oleh PAS.

"Setakat ini kita tidak dimaklumkan ada antara pemimpin PAS sudah dipanggil selepas PDRM membuka kertas inkuiri untuk siasatan lanjut.

"PDRM juga disaran membuka kertas siasatan bagi menyiasat dan mengambil tindakan ke atas individu yang memalsukan dan menyebarkan dokumen berkenaan," katanya kepada media ketika ditemui selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) khas Aidilfitri di Kampung Durian Burong, di sini, semalam.

Yang turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Saharuddin Mohd Kia.

Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengesahkan tidak menerima sebarang panggilan daripada PDRM untuk diambil keterangan.

"Kita mengalu-alukan tindakan tegas PDRM Kuala Lumpur untuk membuka kertas inkuiri bagi memudahkan siasatan dilakukan. Kita juga turut bersedia pada bila-bila masa untuk memberi keterangan jika dipanggil untuk membantu PDRM," katanya.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menegaskan, jawatankuasa tertinggi PAS Pusat tidak mempunyai masa untuk membincangkan isu itu, sebaliknya tumpuan utama parti adalah memperkukuhkan perpaduan.

Mengenai pelawaan Pakatan Harapan (PH) supaya PAS bekerjasama dalam khemah besar, Ahmad Amzad berkata, parti kekal dengan pendirian menyokong pendekatan perpaduan ummah sekali gus menolak kerjasama 'khemah besar' dengan PH dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, PAS sudah ada kumpulan dan penyokong sendiri dan akan terus laksanakan agenda Perpaduan Ummah.






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo