NOTIS:

Belum ada lagi....

YADIM desak MCMC tarik video hari raya promosi LGBT



MELAKA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menarik atau memadam video muzik hari raya menampilkan usahawan kosmetik terkenal baru-baru ini, yang jelas mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, berkata selain itu, MCMC juga digesa mengambil tindakan sewajarnya di bawah akta suruhanjaya itu, supaya tindakan biadab seumpama itu tidak berulang terutama oleh individu sama khususnya di dalam bulan Ramadan.

"Sudah sampai masanya tindakan yang lebih tegas diambil pihak bertanggungjawab terutama MCMC, kerana ia membabitkan penyebaran dalam ruang siber, tidak perlu lagi amaran diberikan kepada individu berkenaan, kerana beliau banyak kali terbabit dengan kontroversi seumpama itu.

"MCMC bukan sahaja boleh menarik balik atau mengharamkan video berkenaan, tetapi kepada penyebar dan pembuat video itu juga boleh diambil tindakan. Ada batas yang tidak boleh dilanggar terutama di Malaysia dan membabitkan masyarakat Muslim, dan dalam tempoh Ramadan ini," katanya kepada pemberita selepas Program Bantuan Hari Raya Aidilfitri YADIM di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa membantu ibu tunggal Umi Nur Faizah Fauzan Ali Halimi dan empat anaknya berusia tujuh hingga 15 tahun memilih pakaian raya sumbangan YADIM.

Beliau berkata, YADIM juga bersedia membuat laporan kepada MCMC berkaitan video muzik berkenaan sekiranya diperlukan, bagi membolehkan tindakan diambil ke atas individu itu.

Katanya, selain itu orang ramai diseru menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna, supaya hiburan yang dikategorikan sebagai 'sampah' tidak disajikan lagi kepada masyarakat secara umum.

Tuan Kamarul Arief berkata, video muzik berkenaan dilihat hanya sebagai salah satu kaedah pemasaran oleh individu berkenaan untuk perniagaannya, walaupun pendekatan itu adalah tidak betul dan dilabel sebagai 'bad promotion'.

Dalam pada itu, beliau berkata YADIM komited untuk mengekang proses normalisasi LGBT di negara ini menerusi pelbagai pendekatan termasuk penerangan, penguatkuasaan undang-undang dan advokasi berterusan yang akan digerakkan kira-kira 10,000 ejen dakwah yayasan berkenaan, yang berada di peringkat universiti dan sekolah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata YADIM memperuntukkan kira-kira RM500,000 bagi membantu 10,000 asnaf, fakir dan miskin sepanjang Ramadan ini.– BERNAMA



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo