NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelajar diberi jaket keselamatan

Media semalam melaporkan kira-kira 50 murid dari SK Nangkawangan dan SK Layon di Nabawan menyeberang sungai menggunakan rakit atau ‘zip line’ untuk ke sekolah selepas jambatan gantung putus akibat dilanda banjir Mac lalu.


KIMANIS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) akan membekalkan jaket keselamatan untuk murid yang menggunakan bot ke sekolah sementara menunggu jambatan siap.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata inisiatif terbabit diambil susulan kerajaan akan membekalkan beberapa bot untuk murid sekolah termasuk penduduk kampung bagi menyeberang sungai.

Mengulas mengenai isu video tular murid sekolah di Kampung Nangkawangan, Nabawan yang terpaksa menaiki rakit atau bergayut pada kabel 'zip line' untuk menyeberang sungai, Mohamad berkata terdapat tiga sekolah juga turut terbabit.

Beliau berkata, selain SK Nangkawangan, tiga sekolah terbabit adalah SK Binanon, SK Mamagun dan juga SK Pohon Batu di Nabawan di mana sebanyak lima jambatan gantung yang menghubungi empat sekolah tersebut turut musnah akibat banjir.

"Empat sekolah terbabit tidak dapat menggunakan jambatan gantung ke sekolah cuma hanya satu sekolah sahaja yang ditularkan iaitu SK Nangkawangan.

"Saya sudah meminta JPNS dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melihat empat sekolah terbabit dan lihat apa yang kita boleh bantu untuk memastikan keselamatan murid dan guru terus dititik beratkan.

"Di pihak kementerian, kita bantu mana yang berkaitan dengan kementerian dan kita membekalkan jaket keselamatan bagi sekolah terlibat yang menggunakan khidmat bot sementara itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan bertempat di Pusat Khidmat Rakyat Kimanis, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad juga berkata, jaket keselamatan terbabit juga turut dibekalkan kepada guru dan juga kakitangan di sekolah yang terlibat.

Beliau menekankan isu keselamatan murid dan pelajar sekolah adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

"Isu keselamatan tidak dapat dikompromi jadi dimana-mana kawasan sekolah yang berdepan risiko tanah runtuh atau banjir besar, ini menjadi keutamaan supaya kita sentiasa peka apa-apa langkah perlu dibuat.

"Jika berlaku di sekolah, kita mempunyai garis panduan namun sekiranya berlaku di luar sekolah, kita akan sentiasa bekerjasama (jabatan atau agensi berkaitan) demi keselamatan murid dan pelajar," katanya.

Selain itu, beliau juga berkata, pihaknya turut memantau sekolah di daerah lain yang berdepan dengan masalah sama supaya tindakan awal dapat diambil jika berlaku kejadian seumpama itu.

Mohamad turut memberitahu beliau difahamkan bahawa Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup sudah mendapatkan kelulusan untuk membina jambatan gantung baharu dan kini sedang menunggu pelaksanaannya.

Sumber | BH Online






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo