NOTIS:

Belum ada lagi....

MP lompat parti kena letak jawatan, perlu dapatkan mandat baharu - Pakar


KUALA LUMPUR: Mana-Mana Ahli Parlimen (MP) yang menukar parti hendaklah meletak jawatan dan kembali kepada rakyat dalam pilihan raya kecil untuk mendapatkan mandat baharu, kata pakar undang-undang Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Penyandang Kursi Tunku Abdul Rahman Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya itu berkata pada pandangan peribadinya, ia adalah cadangan yang akan diutarakan beliau jika Ahli Parlimen melompat ke parti lain.

"Mungkin beliau (MP) mempunyai bantahan dari segi moral dan ideologi yang jujur mengenai hala tuju partinya tetapi dalam kes itu, beliau perlu kembali kepada pengundinya dan mengucapkan 'terima kasih kerana mengundi saya sebelum ini, kini saya memakai songkok baharu dan anda perlu percayakan saya sekali lagi mengenai sebab saya keluar parti dan saya minta anda berikan saya mandat baharu.'

"Bagaimanapun, cadangan ini memerlukan pemansuhan Perkara 48, Fasal 6 (Perlembagaan Persekutuan) kerana ia menyatakan bahawa jika mana-mana MP meletak jawatan, maka untuk tempoh lima tahun akan datang beliau hilang kelayakan bertanding mana-mana kerusi Parlimen. Jadi kita memerlukan pindaan Perlembagaan kepada Perkara 48, Fasal 6 serta Perkara 10," katanya dalam program The Nation bertajuk Undang-Undang Anti Lompat Parti yang disiarkan oleh Bernama TV hari ini.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menyentuh mengenai kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Menurut Shad Saleem, isu lompat parti bukanlah perkara baharu di negara ini kerana perbuatan berpaling tadah telah menyebabkan kejatuhan kerajaan antaranya di Terengganu seawal tahun 1962, Sarawak (1966), Kelantan (1977) dan Kerajaan Persekutuan dua tahun lalu sehingga menyebabkan ketidakstabilan yang kronik kepada negara.

Beliau berkata berkata terdapat kira-kira 41 daripada 193 negara yang mempunyai undang-undang antipembelotan antaranya India, Singapura serta Israel dan di Malaysia, negeri Sabah, Kelantan dan Pulau Pinang yang telah cuba bereksperimen dengan undang-undang itu.

"Saya telah membaca dengan agak bimbang satu cadangan yang amat ekstrem di Malaysia bahawa menukar kem setengah jalan perlu dijadikan kesalahan pilihan raya di bawah Perkara 48 dan kerusi perlu dikosongkan serta hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun. Saya tidak fikir kita perlu membawa undang-undang jenayah ke dalam isu ini," katanya.

Alternatif kedua pula ialah jika seorang MP keluar parti, mengundi menentang parti atau menentang parti dalam isu penting, maka parti boleh memaklumkan Speaker bahawa MP itu bukan lagi ahli parti berkenaan.

Shad Saleem juga berkata ini bermakna cadangan sedemikian adalah bertujuan mengukuhkan perpaduan parti yang kemudian menjadi hasrat Perlembagaan namun kelemahannya ialah ia akan memberikan kepimpinan parti terlalu banyak kuasa yang menyebabkan mana-mana ahli parti tidak dapat bersuara atau mencabar pemimpin parti.

"Masalahnya ialah jika parti tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap seorang MP, maka saya dimaklumkan oleh sesetengah pihak bahawa apa yang MP itu boleh lakukan ialah kekal bersama parti secara rasmi namun teruskan mengundi menentangnya sehingga mungkin menyebabkan parti itu tewas atas undi percaya.

"Malangnya, tidak akan ada penyelesaian yang sempurna, seperti dalam kehidupan, jadi dalam isu undang-undang, kita perlu mengambil jalan tengah dan mencapai keputusan yang paling kurang merugikan," katanya.

Satu sidang khas Parlimen untuk membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 akan diadakan esok yang membabitkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan akta baharu bagi melarang MP menukar parti digubal.

Bagaimanapun, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berkaitan Anti Lompat Parti, yang dijadual dibentang, dibahas dan diluluskan pada sidang khas itu telah ditangguhkan kepada satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak.

– BERNAMA



............oo000oo........... 

PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo