NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Guru dibenar mengajar tanpa pakai pelitup muka


PUTRAJAYA, 26 Ramadan 1443H, Khamis
– Guru di semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dibenarkan tidak memakai pelitup muka ketika sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) di dalam kelas bermula 1 Mei ini.

Bagaimanapun, semua murid masih tertakluk dengan kewajiban memakai pelitup muka di dalam bilik darjah, selaras dengan ketetapan mewajibkan pemakaian itu di ruangan tertutup.

Perkara itu adalah antara kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian sekolah yang diumumkan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini, setelah mengambil kira pengumuman Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Beliau berkata, pengecualian pelitup muka hanya dikhususkan kepada guru-guru yang sedang mengajar di dalam kelas serta mereka yang berada bersendirian di kawasan tertutup di sekolah.

“Apabila berada di luar sekolah atau kawasan terbuka, selaras diumumkan oleh KKM, murid atau warga pendidik yang berada di luar bangunan atau kawasan terbuka di premis institusi pendidikan bawah KPM boleh membuka pelitup muka.

“Tetapi, digalakkan memakainya bagi dalam keadaan tertentu apabila melakukan aktiviti secara berkumpulan,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Dr Radzi berkata, bermula 1 Mei ini juga, mana-mana pelawat ke sekolah tidak lagi perlu membuat imbasan kod QR MySejahtera, selaras dengan ketetapan KKM.

Sementara bagi SOP penjarakan fizikal, beliau berkata, KPM menetapkan bahawa tiada lagi penjarakan satu meter antara murid di dalam kelas, dan guru boleh memilih pendekatan paling baik berkaitan penyusunan kelas.

“Seterusnya ujian kendiri COVID-19, jika sebelum ini kita laksanakan ujian secara rawak di mana 10 peratus murid setiap sekolah akan melakukan ujian kendiri pada hari Rabu, termasuk bagi kemasukan sekolah berasrama iaitu pada hari pertama, hari keenam dan hari ke-14.

“Sekarang dengan ketetapan baharu, tiada lagi ujian kendiri COVID-19 dilaksanakan seperti sebelum ini, namun ujian akan dilaksanakan kepada mereka yang bergejala,” katanya.

Selaras dengan transisi ke fasa endemik, Dr Radzi berkata, kehadiran murid ke sekolah kini diwajibkan seperti mana sebelum negara berdepan situasi pandemik.

“Jika sebelum ini kehadiran tidak diwajibkan dan tiada tindakan disiplin sekiranya tidak hadir, namun mengambil kira keadaan semasa, kehadiran murid ke sekolah adalah diwajibkan.

“Jadi setelah bergerak ke fasa endemik, kita mewajibkan kehadiran murid ke sekolah, namun seperti biasa ada sebab tertentu untuk tidak hadir dan perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah,” katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo