NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

11 persatuan berkaitan sawit gesa kerajaan tangguh perlaksanaan gaji minimum

Sebanyak 11 persatuan berkaitan sawit menggesa kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan gaji minimum bulanan RM1,500 yang berkuat kuasa 1 Mei ini. - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 persatuan berkaitan sawit menggesa kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan gaji minimum bulanan RM1,500 yang berkuat kuasa 1 Mei ini.

Menurut kenyataan kumpulan persatuan itu pada Rabu, kenaikan gaji minimum sebanyak 36 peratus itu adalah satu kenaikan yang besar bagi peladang sawit di kawasan luar bandar yang masih dalam tempoh pemulihan daripada pandemik COVID-19.

Persatuan berkenaan ialah Persatuan Pemilik Ladang Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia, Persatuan Pemilik-pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak, Persatuan Penanam-penanam Malaysia Timur, Persatuan Pengilang Kelapa Sawit, Kumpulan Pengeluar Oleokimia Malaysia, Persatuan Pekilang-Pekilang Minyak Makan Malaya, Persatuan Biodiesel Malaysia, Pergabongan Persatuan Peladang, Pengerusi Persatuan Perundingan Majikan-Majikan Sabah dan Persatuan Pertanian Tawau.

Menurut semua persatuan itu, pada masa sama, pihak penanam juga menghadapi situasi kerugian tanaman, kekurangan pekerja dan kos pengeluaran lebih tinggi.

Kesemua pihak menjelaskan, pada masa ini gaji minimum di 57 bandar dan bandar kecil di seluruh negara ditetapkan pada RM1,200 sebulan dan RM1,100 bagi kawasan luar bandar.

Justeru, persatuan-persatuan itu percaya bahawa akan berlaku kesan susulan ke atas seluruh kos pengeluaran yang tidak boleh ditarik balik apabila had gaji minimum baharu itu diperkenalkan.

Penangguhan pelaksanaan gaji minimum yang disemak, diikuti pelaksanaannya secara berperingkat dalam tempoh yang lebih panjang akan membolehkan semakan itu diuruskan dengan kaedah yang lebih sistematik, telus dan memberikan kesan yang lancar, menurut 11 persatuan itu.

"Semua sektor ekonomi di Malaysia memerlukan masa yang mencukupi untuk membuat pelarasan yang diperlukan berikutan pandemik COVID-19, dan mencari penyelesaian untuk mengurangkan kos bahan penting yang lebih tinggi akibat konflik Rusia-Ukraine," jelasnya.

Pihak itu menambah, sekurang-kurangnya, sebarang cadangan kenaikan gaji mesti menangani satu isu utama lain yang menjejaskan industri kelapa sawit Malaysia berkaitan dengan mempercepat kepulangan pekerja yang dipelawa ke dalam sektor perladangan.

Semua persatuan itu menegaskan pendekatan yang betul seharusnya melibatkan penglibatan pihak berkepentingan inklusif di bawah Majlis

Perundingan Gaji Negara (NWCC) untuk mencari keseimbangan yang tepat antara kebajikan pekerja dan kesan ke atas majikan.

Kumpulan itu berpandangan, peladang beroperasi pada kos input yang sangat tinggi pada masa ini berikutan harga baja meningkat selain kimia pertanian dan bahan api.

"Walaupun nampaknya peladang pada masa ini mempunyai keupayaan kewangan untuk melaksanakan gaji minimum baharu di tengah-tengah harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi namun peladang yang sama akan terjejas teruk apabila harga MSM merosot," menurut 11 persatuan itu.

Harga minyak sawit mencecah paras tertinggi melebihi RM7,100 satu tan pada awal Mac disokong oleh kekangan bekalan dalam keadaan kemarau di Amerika Selatan yang menjejaskan pengeluaran kacang soya selain kesesakan penawaran minyak bunga matahari di rantau Laut Hitam.

Bagaimanapun dalam tempoh sebulan, niaga hadapan minyak sawit Malaysia telah susut kira-kira RM1,300 kepada sekitar RM5,900 satu tan.

Semua 11 persatuan itu juga menyatakan bahawa harga di peringkat global didorong oleh permintaan dan penawaran serta persaingan dengan minyak makan lain justeru, sebarang kenaikan kos pengeluaran seperti kenaikan gaji tidak boleh dilepaskan kepada pelanggan atau pembeli, tidak seperti perniagaan lain.

"Apabila harga komoditi mengalami penurunan, margin akan berkurangan dan akan ada masanya yang kos mungkin meningkat lebih tinggi daripada harga jualan," menurut kumpulan itu.

Semua persatuan itu turut mendedahkan bahawa bilangan pekerja tidak mahir dalam sektor itu adalah besar.

Memandangkan kenaikan besar itu, pekerja berkemahiran di seluruh rantaian bekalan, termasuk kakitangan dan pengurusan akan turut mengharapkan layanan yang sama, mencetuskan lingkaran inflasi di seluruh industri kerana kenaikan gaji apabila diwartakan dan dilaksanakan, ia tidak boleh ditarik balik, jelas 11 persatuan berkenaan. - BERNAMA




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo