NOTIS:

Belum ada lagi....

Tentera Ukraine tawan semula timur Kyiv

0
Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov (tengah) melawat kubu anggota tentera Ukraine di barisan hadapan di luar Kyiv ketika Russia meneruskan serangan terhadap negara itu. - Foto REUTERS


LVIV: Tentera Ukraine berjaya menawan semula bandar-bandar di timur ibu kota Kyiv dan memaksa tentera Russia yang cuba merebut bandar itu berundur, menurut Britain.

Sebulan selepas serangan dilancarkan untuk menjatuhkan kerajaan Presidennya, Volodymyr Zelensky, tentera Russia dilihat gagal menawan bandar utama Ukraine.

Barisan pertempuran dibekukan selama berminggu-minggu dengan Russia mengancam Kyiv dari barat laut dan timur, namun berdasarkan risikan terbaru, Britain menggambarkan serangan balas Ukraine berjaya menolak Russia jauh ke belakang.

"Serangan balas Ukraine membolehkan negara itu menawan semula bandar dan kedudukan pertahanan sehingga 35 kilometer (km) ke timur Kyiv," menurut Britain.

Tentera Ukraine juga berkemungkinan cuba untuk menolak Russia kembali pada paksi utama lain yang mengancam Kyiv dari barat laut, manakala di selatan, Russia merancang menyerang pelabuhan Odesa selepas meninggalkan usaha untuk mengambil Mykolaiv.

Sementara itu, tentera Ukraine berkata, tenteranya menghalang tentera Russia yang cuba masuk ke Kyiv dan masih bertahan di bandar Chernihiv, timur laut Kyiv, menghalang kemaraan Russia ke arah ibu negara.

Berikutan gagal menawan bandar utama Ukraine, Russia terpaksa menggunakan meriam dan serangan udara, manakala pelabuhan timur Mariupol dikepung sejak awal perang dengan puluhan ribu orang dipercayai terperangkap tanpa akses kepada makanan, ubat, tenaga elektrik atau sumber pemanas.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, dijangka melawat Poland untuk melihat sendiri krisis pelarian di mana hampir satu perempat daripada 44 juta penduduk Ukraine tiada tempat tinggal dan lebih 3.6 juta melarikan diri ke negara jiran sejak pencerobohan Russia pada 24 Februari lalu.

Barat sebelum ini menolak campur tangan di lapangan, tetapi menyokong Kyiv dengan membekalkan beratus-ratus senjata anti-kereta kebal dan anti-pesawat serta menghalang Moscow daripada mengawal ruang udara.

Seorang pegawai kanan pentadbiran AS berkata Washington dan sekutunya juga sedang berusaha menyediakan senjata anti-kapal untuk melindungi pantai Ukraine.

Tentera Ukraine semalam mendakwa berjaya meletupkan sebuah kapal pendaratan Russia di pelabuhan yang ditawan Russia.

Setiausaha Pertahanan untuk Dasar, Colin Kahl, berkata stok peluru berpandu ketepatan tinggi Russia semakin berkurangan berikutan kadar kegagalannya sehingga 60 peratus, menyebabkan Russia lebih bergantung pada bom dan artileri. - REUTERS




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo