Mohd Shafiq meneliti bangkai ikan pias yang terdampar di Pantai Sungai Tuang, Masjid Tanah. - NSTP/HASSAN OMAR |
MASJID TANAH: Beribu-ribu bangkai ikan pias dikesan terdampar sepanjang kira-kira tiga kilometer Pantai Sungai Tuang hingga Telok Gong, di sini hari ini.
Bangkai ikan dikesan mula terdampar apabila dibawa ombak besar kesan angin barat yang bertiup kencang mulai jam 3 petang. Hingga lewat petang ini, jumlah bangkai yang terdampar semakin bertambah berikutan angin kencang dan ombak yang semakin tinggi.
Nelayan, Mokhtar Bakar, 64, berkata dia terkejut apabila ke pantai Sungai Tuang untuk membetulkan jaring ikan diletakkan di bawah pokok pada jam 4 petang.
"Semua yang mati hanya pias, iaitu ikan yang berenang dan bermain secara berkawan di permukaan ombak. Saya percaya ikan itu terkena tumpahan minyak di tengah laut, bangkai dibawa ombak dan angin barat ke gigi pantai, sekali gus menyebabkan pantai Sungai Tuang dan Telok Gong dipenuhi bangkai ikan itu," katanya ketika ditemui.
Penduduk Kampung Pengkalan Balak, Mohd Shafiq Zainal Abidin, 30, juga terkejut apabila mendapati pantai berkenaan dipenuhi bangkai ikan pada jam 4.30 petang tadi.
"Ini kali pertama saya jumpa beribu-ribu bangkai ikan pias di pantai dan saya percaya ada berlaku tumpahan minyak di tengah laut," katanya.
Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon yang dihubungi, berkata beliau sudah mengarahkan pegawainya mengambil contoh bangkai ikan untuk dianalisis.
"Saya tidak boleh beri ulasan banyak selagi belum ada keputusan analisis yang dijalankan oleh pegawai kami. Insya-Allah, saya akan memberikan ulasan sebaik sahaja keputusan analisis diperoleh," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah yang turut meninjau pantai itu, berkata beliau meminta Jabatan Perikanan menjalankan siasatan punca kematian ikan berkenaan, manakala Jabatan Laut diminta menyiasat bagi mengesan jika ada tumpahan minyak kapal di tengah laut.
"Bangkai ikan ini sudah berbau dan saya harap ombak besar akan membawanya ke tengah laut semula," katanya.
Sumber | BH Online
No comments
Post a Comment